Najib mesti tunjuk kepimpinan melalui teladan
Seorang pemimpin pembangkang hari ini menggesa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menunjukkan kepimpinannya melalui teladan.
Seorang pemimpin pembangkang hari ini menggesa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menunjukkan kepimpinannya melalui teladan.
Untuk itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Timbalan Perdana Menteri itu mesti mempraktikkan sendiri nasihatnya kepada pihak kementerian supaya menjawab isu salahurus dan salahguna dana kerajaan seperti yang didedahkan dalam Laporakn Ketua Audit Negara 2006.
Dalam satu kenyataan, beliau menggesa Najib, yang juga Menteri Pertahanan, supaya menjelaskan skandal RM6.7 bilion pembelian Kapal Peronda Pantai (OPV) yang sama ada tidak diserahkan atau tidak dapat beroperasi.
"Beliau mesti menjelaskan mengapa harga kontrak yang dibenarkan, telah meningkat dua kali ganda - dari RM4.9 bilion kepada RM6.75 bilion atau 38 peratus walaupun OPV tersebut sama ada tidak diserahkan atau tidak dapat beroperasi.
"Skandal OPV sebanyak RM6.75 bilion itu adalah kes penyalahgunaan dana yang terbesar dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006," tambahnya.
Lim berkata, enam OPV pada mulanya ditempah pada harga RM4.9 bilion. Ia kemudiannya meningkat kepada RM5.35 bilion pada September 1998. Kesemua enam OPV itu sepatutnya diserahkan pada April 2007 dengan penyerahan pertamanya pada bulan Mac 2004.
Bagaimanapun, tambahnya, hanya dua OPV diserahkan setakat ini dan kedua-duanya tidak dapat beroperasi sepenuh kerana keperluan spesifikasi teknikalnya masih belum lengkap.
"Denda 0.5 peratus sebulan, berdasarkan kepada nilai kontrak, boleh dikenakan bagi sebarang kelewatan. Tetapi denda tersebut tidak boleh melebihi RM53.5 juta, yang ditetapkan sendiri oleh pihak kerajaan.
"OPV pertama diserahkan lewat 27 bulan dan OPV kedua lewat 18 bulan, tetapi masing-masing hanya dikenakan denda RM53.5 juta setiap satu ekoran had yang ditetapkan itu," tambahnya.
Siasatan penuh
Laporan Ketua Audit Negara itu menganggarkan kerajaan boleh mengenakan denda sekurang-kurang RM214 juta kerana kelewatan penyerahan kedua-dua OPV tersebut dan bagi empat lagi yang belum diserahkan.
Bagaimanapun, kata Lim, kabinet telah memutuskan November lalu untuk melupuskan tuntutan denda tersebut.
Lebih teruk lagi, katanya, kerajaan telah menaikkan harga kontrak sebanyak RM1.4 bilion pada Januari 2007," tambahnya.
Beliau berkata, Kementerian Pertahanan mesti menjelaskan mengapa kerajaan telah melupuskan denda tersebut.
"Lebih penting lagi, mengapa kerajaan masih terus mencurahkan wang kepada kontraktornya walaupun mereka gagal memenuhi kontrak?" soalnya.
Yang lebih mengejutkan lagi, tambah Lim, ialah Najib mesti menjelaskan mengapa Kementerian Pertahanan membayar pendahuluan RM4.26 bilion kepada kontraktor tersebut Disember tahun lalu apabila kemajuan kerjanya hanya berjumlah RM2.87 bilion.
"Tidakkah kerajaan kerugian RM1.4 bilion jika kontraktor tersebut gagal? Tingkahlaku seumpama itu bukan sahaja semberono, kurang bijak tetapi juga tidak bertanggungjawab," katanya, sambil menambah satu siasatan penuh perlu dijalankan untuk menyiasat perkara tersebut. Bahan asal

