Skandal sogokan balak: Siapakah Shea Kin Kwok?
Eksklusif Dia memang tidak terkenal langsung. Mungkin ibubapanya mahu dia menjadi seorang yang penting - lagi pula, namanya 'Kin Kwok' bermaksud 'membina negara'. Carian dalam Internet juga tidak membantu. Dia pernah menyertai pertandingan golf untuk warga emas di Hong Kong - ini menunjukkan Sheah Kin Kwok adalah seorang warga emas.
Eksklusif Dia memang tidak terkenal langsung. Mungkin ibubapanya mahu dia menjadi seorang yang penting - lagi pula, namanya 'Kin Kwok' bermaksud 'membina negara'. Carian dalam Internet juga tidak membantu. Dia pernah menyertai pertandingan golf untuk warga emas di Hong Kong - ini menunjukkan Sheah Kin Kwok adalah seorang warga emas.
Ketepikan golf, Shea adalah seorang ahli perniagaan. Dia adalah pemegang saham dan pengarah dua syarikat yang didaftarkan di Hong Kong - Regent Star Company Limited dan Richfold Investment Limited.
Di sebalik semua itu, Shea mempunyai banyak kaitan rapat dengan Malaysia, terutama hubungannya dengan ahli keluarga Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud (foto) dan empayar perniagaan mereka.
Nama Shea, pertamakalinya timbul, lewat Mac lalu apabila Regent Star dikaitkan oleh media Jepun dalam skandal sogokan pengangkutan balak yang berjumlah berjuta-juta ringgit.
Dilaporkan kartel perkapalan Jepun yang terdiri daripada syarikat perkapalan utama di negara itu telah membayar sekurang-kurangnya RM32 juta kepada Regent Star untuk membantu "menyelesaikan" masalah berkaitan dengan eksport balak dari Sarawak ke Jepun.
Pihak berkuasa Jepun menganggap bayaran tersebut sebagai 'perbelanjaan tidak sah" memandangkan tidak banyak kerja yang dilakukan oleh Regent Star - yang dipercayai sebuah syarikat atas kertas sahaja. Ekoran itu, syarikat-syarikat perkapalan Jepun itu dikenakan tunggakan cukai serta denda yang banyak kerana "menyembunyikan" dana tersebut daripada pengetahuan pihak berkuasa.
Seminggu kemudiannya, malaysiakini mendedahkan di Malaysia berita mengenai dakwaan bayaran sogokan itu, dengan memetik sumber-sumber media Jepun.
Shea adalah salah seorang daripada dua pengarah Regent Star. Syarikat tersebut ditubuhkan di Hong Kong 24 tahun yang lalu. Maklumat korporatnya diperolehi dari pihak berkuasa Hong Kong, dan pejabatnya Regent Star terletak di Kowloon.
Syarikat tersebut mempunyai modal berbayar sebanyak HK$10,000 (RM4,500). Laporan tahunan Regent Star bagi 1985 menyatakan bahawa dua pengarah pertamanya adalah Shea Kin Kwok dan Kho Eng Beng. Kedua-duanya dilantik seminggu selepas syarikat tersebut ditubuhkan, dengan setiap seorang memegang 5,000 saham.
Kho disenaraikan sebagai warga British manakala Shea pula rakyat Hong Kong. Kho meletak jawatan pengarah pada 2001 dan digantikan oleh Ng York Kee, seorang rakyat Filipina.
Dalam bulan Jun - dua bulan selepas skandal itu didedahkan - Regent Star mengambil langkah yang mengejutkan. Ng, bagi pihak syarikat tersebut, memohon kepada Pendaftar Syarikat Hong Kong untuk membatalkan pendaftaran Regent Star.
Ia dilakukan selepas Taib memfailkan saman fitanah terhadap malaysiakini dan dua pemimpin pembangkang berhubung dakwaan skandal tersebut. Dua pemimpin PKR itu telah mencetak semula laporan mengenai skandal dari malaysiakini dan media Jepun dan mengedarkannya kepada orang ramai di Kuching.
Sejak itu, kedua-dua pemimpin PKR tersebut, melalui peguam masing-masing, telah menulis kepada Pendaftar Pertubuhan Hong KOng dan Pejabat Percukaian untuk mendapatkan maklumat mengenai permohonan untuk membatalkan pendaftaran Regent Star itu.
Dewan Niaga Sarawak
Kerajaan Sarawak di bawah pentadbiran Taib, yang juga menjadi Menteri Perhutanan negeri, melantik Dewan Niaga (Sarawak) Sdn Bhd sejurus selepas menjadi Ketua Menteri pada 1981 sebagai ejen perkapalan bagi eksport balak.
Dewan Niaga Sarawak, ditubuhkan pada 1981 sebagai syarikat berpejabat di Sarawak, merupakan ejen tunggal bagi pengangkutan balak keluar dari Sarawak. Mereka yang mahu mengeksport balak mesti berbuat demikian menerusi syarikat tersebut.
Syarikat itu mempunyai modal yang dibenarkan sebanyak RM1 juta, dengan modal yang diterbitkan sebanyak RM200,000. Pengarahnya terdiri daripada individu-individu yang rapat dengan kerajaan negeri serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Sarawak.
Antara mereka ialah bekas senator Wee Kok Tiong (foto), anak lelaki mendiang jutawan Sarawak, Wee Boon Ping.
Wee, yang merupakan calon Parlimen kerusi Bandar Kuching sewaktu pilihanraya umum 2004, adalah dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang didominasi oleh kaum Cina - sebuah parti komponen utama Barisan Nasional (BN) Sarawak. Dia tewas kepada calon DAP.
Wee juga adalah Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Sarawak dan Naib Pengerusi SUPP cawangan Kuching, serta menjadi anggota jawatankuasa pusat parti tersebut. Dia juga memiliki akhbar harian berbahasa Cina yang berpejabat di Sarawak - International Times.
Seorang lagi pengarah Dewan Niaga Sarawak ialah Abdul Aziz Husain. Abdul Aziz, yang merupakan salah seorang daripada pengarah pertama dilantik selepas syarikat tersebut ditubuhkan 25 tahun lalu, adalah setiausaha kerajaan negeri Sarawak sehingga 2006. Abdul Aziz juga merupakan adik ipar Taib.
Sejak itu, dia dilantik sebagai pengarah urusan syarikat tersenarai, Sarawak Energy Bhd, yang majoriti ekuitinya dimiliki kerajaan negeri. Sarawak Energy bertangungjawab, antara lain, penjanaan, penghantaran dan pengedaran bekalan elektrik di Sarawak.
Dua lagi ahli keluarga Taib juga merupakan pengarah Dewan Niaga Sarawak - dua orang adik lelakinya, Onn Mahmud dan Mohd Tufail Mahmud, yang masing-masing dilantik pada 1988 dan 1991.
Salasilah
Para pemegang saham Dewan Niaga Sarawak ialah Achi Jaya Transportation Sdn Bhd, dengan 104,000 saham, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu (80,000 saham) dan Koperasi Koppes Bhd (16,000 saham).
Pemegang saham majoriti, Achi Jaya Transportation, adalah nama baru bagi CMS Transportation Sdn Bhd. Syarikat tersebut ditubuhkan pada 1983 dan menyebut perniagaannya sebagai 'pengangkutan dan perniagaan barangan dan perkhidmatan'. Ia mempunyai modal yang dibenarkan sebanyak RM3 juta dengan modal yang diterbitkan sebanyak RM500,000.
TIga daripada lima pengarah Achi Jaya Transportation adalah dari kalangan ahli keluarga Mahmud. Mereka ialah Onn, yang menjadi pengarah perintis syarikat tersebut, Mohammad Tufail, yang menjadi pengarah dua bulan selepas syarikat tersebut didaftarkan, dan Fredahanam, iaitu isteri kepada bekas setiausaha kerajaan negeri, Abdul Aziz.
Seorang lagi pengarah, Noor Zakri Abdul Ghani, berkongsi tempat pendaftaran kediaman yang sama dengan Onn. Noor Zakri dipercayai saudara ipar Onn. Dan seorang lagi pengarahnya ialah Chiew Chee Hung @ Chiew Chee Ung.
Manakala pemegang saham tunggal Achi Jaya Transportation adalah Achi Jaya Holdings Sdn Bhd, dengan 500,000 saham. Achi Jaya Holdings ditubuhkan sebagai Achi Corporation Sdn Bhd pada 1983 untuk menyediakan pengurusan perkhidmatan, hartanah dan pelaburan. Ia mempunyai modal yang dibenarkan sebanyak RM2 juta, dengan modal yang diterbitkan sebanyak million RM1 juta.
Kesemua lima orang pengarah Achi Jaya Holdings ada kaitan dengan keluarga Mahmud. Mereka ialah Onn, isterinya Halimatun Abdul Ghani, anak lelaki berusia 23 tahun Omar Yakub dan anak perempuan berusia 28 tahun Siti Hajah Hamidah, dan Noor Zakri.
Onn dan Halimatun adalah merupakan pengarah perintisnya manakala anak lelaki mereka menjadi pengarahnya pada Januari 2007. Onn dan isterinya bersama memiliki kesemua saham Achi Jaya Holdings. Onn memegang 499,999 saham manakala isterinya memiliki satu saham dalam syarikat tersebut.
Cerita ini tidak akan lengkap tanpa menyebut tentang CMSB, atau Cahya Mata Sarawak Bhd.
Sebahagian besar rakyat Sarawak tahu CMSB, di mana majoriti sahamnya dimiliki oleh keluarga Taib. Ia merupakan sebuah syarikat tersenarai dan laporan tahunan 2006 menyatakan perolehannya ialah sebanyak RM6.4 bilion.
CMB adalah sebuah konglomerat yang terbabit dalam bidang pembuatan, pembinaan, bahan-bahan binaan, pasaran saham dan perkhidmatan kewangan yang lain, pembangunan hartanah, insurans dan pembankan - Bank RHB - yang kini telah dijual kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan harga RM2.25 billion.
Antara anggota lembaga pengarahnya adalah dua anak lelaki Taib - Abu Bakir, 43, dan adiknya Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman, 38. Anak sulongnya itu adalah timbalan pengerusi kumpulan dan pengarah bukan eksektuf CMSB manakala Sulaiman sebagai pengarah bukan eksekutif.
Sebahagian daripada pemegang ekuiti dalam CMSB adalah ahli keluarga Taib - isterinya Laila (11.23%), anak perempuannya Hanifah Hajar (13.85%) dan Jamilah Hamidah (13.64%), dan anak lelakinya Sulaiman (8.94%) and Abu Bakir (8.92%).
Kesemunya, keluarga Taib memiliki sekurang-kurangnya 56.58 peratus syarikat tersebut. Saudara lelakinya, Onn juga memiliki 0.76% saham CMSB.
Memandangkan salasilah tersebut, maka CMSB mendapat projek besar dari kerajaan negeri Sarawak. Tambahan pula, ia memiliki lebih 2,234 hektar tanah kosong di beberapa tempat di negeri itu serta bangunan pejabat, kilang, premix, rumah kedai dan sebuah jeti.
Pelaburan Shea
Hubungan perniagaan antara Shea dan Onn bermula sejak lebih dua dekad yang lalu. Syarikat Regent Star milik Shea dikaitkan dengan sebuah lagi syarikat Hong Kong, Richfold Investments, di mana salah seorang pengarahnya adalah Onn.
Semakan yang dibuat oleh malaysiakini dengan Pendaftar Syarikat Hong Kong mendapati Richfold Investments ditubuhkan pada hari yang sama dengan Regent Star - 22 November 1983. Tambahan pula, kedua-dua syarikat tersebut berkongsi pejabat yang sama di Hong Kong.
Onn memiliki 49,999 saham dalam Richfold Investments manakala Shea memiliki satu saham. Onn telah dilantik sebagai pengarah Richfold Investments bersama dengan Shea, sehari selepas Shea dilantik sebagai pengarah Regent Star. (lihat carta di bawah).
Ng York Kee, seorang lagi pengarah Regent Star, juga disenaraikan sebagai setiausaha syarikat Richfold Investments.
Bagaimanapun, kaitan Shea dengan keluarga Taib tidak terhad di Hong Hong sahaja. Menurut Bursa Malaysia, Shea juga merupakan pemegang saham utama dalam dua syarikat di Sarawak.
Menurut laporan tahunan syarikat tersenarai, Sarawak Oil Palm Bhd bagi tahun 2002 hingga 2005, Shea adalah pemegang sahamnya dan disenaraikan dalam kategori '30 pelabur terbesarnya'. Sahamnya pegangannya berjumlah 1,309,400 atau 1.38% pada tahun 2002; 1,239,400 atau 0.97% pada tahun 2003-2005. Bagaimanapun, dalam laporan 2006, nama Shea tidak disenaraikan sebagai pemegang saham. Tidak dapat dipastikan sama ada beliau telah menjualnya atau memindahkan pemilikan sahamnya kepada syarikat-syarikat lain.
Satu lagi pelaburan Shea di Sarawak ialah dalam CMSB, tetapi ianya tidak lama. Laporan tahunan CMSB tahun 2001 menyenaraikan Shea memiliki 663,000 saham dalam syarikat tersebut. Bagaimanapun, dalam laporan-laporan tahunan berikutnya, Shea tidak lagi disenaraikan sebagai pemegang sahamnya.
Sebagai seorang yant tidak dikenali langsung di Sarawak, Shea jelas mempunyai hubungan kuat dengan negeri tersebut.
Dia seorang proksi?
Ia juga tidak jelas berapa banyak yang dibayar oleh kartel perkapalan Jepun itu kepada Regent Star sepanjang tempoh lebih dua dekad kewujudannya. Biro Percukaian Jepun, yang menghad penyiasatannya kepada tempoh tujuh tahun, menganggarkan RM32 juta telah dibayar sepanjang tempoh tersebut.
Adakah wang tersebut telah dibayar kepada seorang rakyat Hong Kong yang bernama Shea atau adakah dia hanya seorang proksi? Jika iya, proksi siapa?
Dan siapakah Shea ini? Dia tidak memainkan peranan yang menyerlah dalam dunia korporat Hong Kong kerana semakan dengan Pendaftar Syarikat Hong KOng mendapati dia tidak mempunyai kepentingan perniagaan, hanya dalam Regent Star dan Richfold Investments.
Apa yang boleh dikatakan ialah Shea adalah rakan niaga Onn dan hubungan mereka bermula sejak 1983 - tahun yang sama syarikat Archipelago Shipping ditubuhkan untuk menjadi ejen perkapalan, tahun yang sama Dewan Niaga Sarawak melaksanakan perjanjian perkapalan dengan kartel perkapalan Jepun untuk mengangkutkan balak dari Sarawak.
Dan 1983 adalah juga tahun yang sama Dewan Niaga Sarawak melantik Archipelago Shipping menjadi pengendali tunggal pengangkutan semua balak yang dieksport dari Sarawak. Dan, Regent Star dan Richfold Investments juga ditubuhkan pada masa yang sama, dalam tahun tersebut.
Adalah jelas bahawa Shea ada kaitan dengan dakwaan sogokan pengangkutan balak yang membabitkan kartel perkapalan Jepun dan ahli politik Sarawak. Tetapi jejaknya itu mungkin hilang apabila Regent Star tidak lagi wujud sekiranya permohonan untuk membatalkan pendaftarannya diluluskan oleh Pendaftar Syarikat Hong Kong. Berita asal

