Usul tergempar untuk membincangkan keganasan yang tercetus apabila pihak polis bertembung dengan penyokong pembangkang di Terengganu malam Sabtu lalu, ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Talib hari ini.

Ramli (foto) bersetuju dengan Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian), yang membentangkan usul tersebut, bahawa perkara itu adalah berkepentingan awam tetapi memutuskan ia bukan perkara segera yang perlu dibahaskan dan dibincangkan di dewan tersebut.

Katanya, rusuhan tersebut sedang disiasat oleh polis dan oleh itu beliau berkata, ianya bukanlah perkara segera dan menolak rayuan Salahuddin supaya dewan membincangkannya.

Salahuddin telah memfailkan usul tersebut semalam dan berharap ia dibenarkan dibincangkan dalam sidang dewan hari ini.

Dalam usul tersebut, Salahuddin berkata, kejadian itu, yang mengakibatkan ramai cedera dan dua orang ditembak polis, mesti dibahaskan kerana ia berkepentingan awam.

Katanya, Menteri Keselamatan Dalam Negeri perlu menjelaskan mengapakan peluru hidup digunakan untuk meleraikan orang ramai.

Meriam air

Pasukan polis menjadi sasaran hebat kritikan ekoran tindakan yang mereka gunakan untuk meleraikan satu perhimpunan di Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu malam Sabtu lalu.

Kira-kira 500 orang berhimpun di situ untuk mendengar ceramah oleh badan pemantau pilihanraya, Bersih.

Polis telah menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk meleraikan orang ramai, kerana menurut polis, ceramah itu diadakan tanpa kebenaran.

Dua ahli parti pembangkang juga cedera parah selepas ditembak oleh seorang anggota polis.

Polis berkata, tembakan dilepaskan oleh seorang anggotanya untuk mempertahankan diri. Berita asal