Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Hussein sedia disiasat berhubung Laporan Ketua Audit Negara yang mendedahkan pembelian 13 peralatan dan kelengkapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) yang melebihi harga pasaran, ketika beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan pada 2002, sehingga mengakibatkan kerajaan menanggung kerugian RM8.39 juta.

Hishammuddin yang kini Menteri Pelajaran, menegaskan beliau tidak mempunyai apa-apa yang hendak disorokkan, demikian menurut laporan Berita Harian hari ini.

Katanya, pihak berkuasa harus menyiasat dan siapa yang bersalah tetap bersalah.

"Jika ada kesalahan, ambil tindakan terhadap pihak yang bersalah, termasuk jika ia membabitkan saya," kata dalam jawapan SMS kepada Berita Harian semalam. Beliau kini berada di Arab Saudi atas urusan rasmi.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman dilaporkan berkata pembelian kelangkapan untuk IKBN dibuat ketika beliau belum lagi dilantik menerajui kementerian berkenaan.

Azlina juga dilaporkan berkata ketua setiausaha kementerian berkenaan memberitahunya kontrak itu dianugerahkan pada 2002 menerusi Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8)

Ketika itu, menurutnya, banyak rundingan terus dikeluarkan dan dalam kes berkenaan membabitkan Perunding Pengurusan Projek (PMC).

Pembelian peralatan yang melebihi harga pasaran ketika itu termasuklah dua menara kren dengan kos RM5.72 juta (harga pasaran RM2.98 juta) dan alat pengangkat kereta dua tan berharga RM5,741 seunit (pasaran pasaran RM50 seunit).

Kementerian itu juga membeli 17 set buku teknikal daengan 10 tajuk pada harga RM181,900 atau RM10,700 setiap set, sedangkan harganya di Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cuba RM417 satu set.