Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selangor warta fatwa pengharaman GISBH
Diterbitkan:  Oct 18, 2024 1:20 PM
Dikemaskini: 5:20 AM

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengesahkan satu fatwa telah diwartakan terhadap penyelewengan fahaman, ajaran, pegangan dan amalan Global Ikhwan Services And Business Holdings Sdn. Bhd (GISBH).

Pengerusinya, Abdul Aziz Mohd Yusof berkata fatwa berkenaan diperkenan Sultan Selangor dan disiarkan dalam warta kerajaan negeri pada 16 Okt.

"Merujuk kepada fatwa yang telah diwartakan ini, fahaman, ajaran, pegangan atauamalan pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya mempunyai elemen-elemen yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah dari aspek akidah dan syariat.

"Berdasarkan fatwa tersebut, mana-mana orang Islam di Negeri Selangor adalah dilarang dan diharamkan untuk beramal, berpegang, menjadi pengikut, mengajar, menyebarkan, mengembangkan dan menyokong fahaman, ajaran, pegangan atau amalan GISBH dan rangkaiannya termasuk apa-apa fahaman, ajaran, pegangan atau amalan lain yang mempunyai persamaan dengan amalan GISBH yang diharamkan ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Abdul Aziz berkata, selaras dengan fatwa tersebut juga, mana-mana orang Islam yang menyertai,mengamalkan atau berpegang kepada fahaman, ajaran, pegangan atau amalan yang telah diharamkan ini hendaklah segera bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT.

Jelasnya, pihak berkuasa yang berkaitan pula bertanggungjawab untuk melaksanakan pemulihan kepada mereka.

"Masyarakat Islam di Negeri Selangor dinasihatkan untuk menghormati dan tidak melakukan tindakan yang bercanggah dengan fatwa yang telah diwartakan.

"Mana-mana orang yang bertindak mengingkari, melanggar atau mempertikaikan fatwa yang telah diwartakan adalah melakukan kesalahan di bawah perenggan 12(c)Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

"Bagi melaksanakan tanggungjawab pemulihan sepertimana fatwa yang telahdiwartakan, Mais bersama agensi kerajaan negeri termasuk semua agensi hal ehwal Islam Selangor merangka dan menggerakkan plan tindakan pemulihan kepada pengikut GISBH termasuk kanak-kanak dan dewasa.

"Pemulihan yang akan dilaksanakan merangkumi perlindungan, bimbingan, pemulihan akidah termasuk melalui proses istitabah dan kaunseling. Mais juga menyatakan sokongan yang padu terhadap program rehabilitasi secara sukarela yang ditawarkan oleh kerajaan Malaysia kepada pengikut atau ahli GISBH dan rangkaiannya baru-baru ini," katanya lagi.

Terdahulu siasatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membawa kepada terbongkarnya pelbagai maklumat hasil pengalaman individu yang dikaitkan dengan GISBH.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar, berkata rata-rata ahli-ahli GISBH yakin bahawa pengasas ajaran Aurad Muhamadiah, Syeikh Suhaimi, adalah Imam Mahadi.

"Berdasarkan kepada sesi temu bual bersama saksi-saksi, Jakim telah membongkar hasil pengalaman mereka semasa berada dalam Al-Arqam, Rufaqa dan GISBH.

"Antara penyelewengan mereka merangkumi aspek akidah, syariah dan akhlak, tasawuf, muamalat,” jelas Mohd Na’im di Dewan Rakyat, Selasa lalu.

Dalam perkembangan itu Mais mengalu-alukan kepada pengikut atau ahli GISBH dan rangkaiannya untuk hadir secara sukarela bagi tujuan pemulihan.

Abdul Aziz berkata Mais dan agensi Islam di Negeri Selangor menyatakan komitmen untuk bekerjasama dan memberi bantuan dari aspek tenaga kerja, kewangan, fasiliti dan kemahiran sebagai sokongan terhadap program pemulihan yang dilaksanakan kerajaan persekutuan dan negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS