Ahli Parlimen PAS Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Krian) hari ini mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat untuk membincangkan kontroversi pelantikan Tan Sri Zaki Azmi sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib bersetuju dengan pandangan Salahudin (foto) bahawa ia adalah satu isu perkara yang berkepentingan awam tetapi menegaskan ia bukan satu perkara yang perlu disegerakan.

Ekoran itu, beliau mengambil keputusan menolak usul tergempar yang dikemukakan oleh Salahuddin itu.

Isnin lalu, Ramli juga menolak usul tergempar yang juga dikemukakan oleh Salahuddin untuk membahaskan rusuhan yang berlaku di Pantai Buruk, Terengganu malam Sabtu lalu.

Menurut Salahuddin, pelantikan Zaki sebagai Mahkamah Persekutuan telah menimbulkan persoalan kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti, integriti dan reputasi badan kehakiman Malaysia dan perkara itu mesti dibahaskan segera kerana ia berkepentingan awam.

Salahuddin berkata, integriti Zaki boleh dipersoalkan ekoran pembabitannya dengan Umno sebelum ini.

Menurutnya, pelantikan Zaki sebagai hakim Mahkamah Persekutuan telah menimbulkan reaksi negatif kerana umum mengetahui bahawa Zaki lama menjadi peguam Umno dan pernah memegang jawatan dalam parti tersebut.

Malah, katanya, badan kehakiman telah dikejutkan dengan perkara itu, apatah lagi apabila terdapat ramai lagi para hakim yang lebih kanan dan berkelayakan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan untuk dilantik memegang jawatan tersebut.

Kontroversi perceraian

Menurutnya, hakim-hakim berkenaan yang lebih kanan dan lebih berpengalaman, mempunyai lebih banyak potensi untuk berkhidmatan sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

Badan kehakiman Malaysia sebelum ini berdepan dengan pelbagai isu kontroversi, terutama dakwaan bahawa hakim-hakim yang lebih layak tidak dinaikkan pangkat oleh Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Zaki adalah yang pertama dalam sejarah kehakiman negara, dilantik dari seorang peguam, terus menjadi hakim Mahkamah Persekutuan.

Ramai yang merasakan, peguam berusia 62 tahun ini tidak sesuai menjadi hakim Mahkamah Persekutuan kerana hubungan rapatnya dengan Umno.

Selain menjadi penasihat parti itu, Zaki juga pernah menjadi pengerusi jawatankuasa disiplin Umno, setiausaha pemilihan Umno dan timbalan pengerusi panel rayuan lembaga disiplin Umno.

Beliau melepaskan jawatan tersebut pada 2005 ekoran kes kontroversi perceraiannya dengan isteri keduanya, yang berusia 30-an.

Pada 2005, Zaki mengahwini Nor Hayati Yahaya, yang ketika berusia 32, tetapi rumahtangga mereka runtuh selepas tiga bulan.

Pasangan itu dinikahkan dalam satu majlis di sebuah kedai kain di Perlis, oleh seorang kadi dari Thailand. Pasangan itu telah bersetuju untuk membakar sijil asal pernikahan mereka supaya tidak diketahui oleh isteri pertamanya.

Terpulang pada Zaki

Pasangan itu juga telah mencapai persetujuan sebelum dinikahkan, jika hubungan mereka bermasalah, mereka akan berpisah.

Selepas itu, Zaki mendakwa beliau menerima pelbagai ugutan dari Nor Hayati, yang antara lain, didakwa meminta RM10 juta.

Nor Hayati juga didakwa telah memaksa Zaki mendaftarkan perkahwinan mereka, jika tidak,dia mengugut untuk mencemarkan reputasi Zaki.

Majlis Peguam bagaimanapun, menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu peluang untuk memulih dan meningkatkan imej badan kehakiman.

"Satu-satunya masalahnya ialah persepsi mengenai hubungannya dengan Umno atau dengan kerajaan. Terpulang kepada beliau untuk membuktikan sebaliknya. Beliau perlu mengikis tanggapan tersebut," kata Pengerusinya, Ambiga Sreenevasan. Berita asal