Chan enggan dedah tentang penyakitnya
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy hari ini enggan mendedahkan tentang penyakit yang dihidapinya sehingga terpaksa mendapatkan rawatan selama dua minggu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy hari ini enggan mendedahkan tentang penyakit yang dihidapinya sehingga terpaksa mendapatkan rawatan selama dua minggu.
"Ia merupakan perkara peribadi," hanya itu yang dikatakan apabila ditanya pemberita.
"Saya baik sekarang. Saya okay. Terima kasih kepada semua yang menunjukkan keprihatinan mereka," kata Timbalan Presiden MCA itu di pejabatnya selepas kembali daripada mesyuarat mingguan kabinet.
Menurut laporan Bernama, beliau mula bekerja hari ini selepas bercuti dua minggu bagi mendapatkan rawatan di Australia.
Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Melbourne semalam, Chan menafikan khabar-khabar angin mengatakan beliau menghidap kanser.
Khabar angin
Ditanya mengenai berita peletakan jawatannya pada muka hadapan akhbar Sin Chew Daily Jumaat lalu, Chan berkata, beliau tidak pernah menghantar apa-apa surat peletakan jawatan.
"Anda tanya orang yang memulakan khabar angin ini. Saya dah buat kenyataan, perdana menteri dah jelaskannya dan sekarang saya datang ke pejabat (untuk kembali bertugas). Bukan saya yang mulakan khabar angin itu," katanya.
Ditanya sama ada kabinet ada membincangkan keadaan kesihatannya dan khabar angin itu, Chan berkata tidak ada.
Ditanya sama sama ada khabar angin itu memberi kesan kepadanya, Chan berkata:" Dalam dunia politik, ini normal, saya dah biasa dengan macam-macam khabar angin."
Chan tidak menjawab soalan berkenaan kementeriannya.

