Pengurusan k'jaan tercemar, kata Wan Azizah
Wakil Rakyat Permatang Pauh, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail membidas kerajaan yang didakwanya meneruskan amalan pemimpin dan keluarga meraih keuntungan besar daripada kontrak kerajaan tanpa prosedur tender telus.
Wakil Rakyat Permatang Pauh, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail membidas kerajaan yang didakwanya meneruskan amalan pemimpin dan keluarga meraih keuntungan besar daripada kontrak kerajaan tanpa prosedur tender telus.
Dalam perbahasannya di Dewan Rakyat mengenai Bajet 2008, beliau kecewa kerana permasalahan pokok seperti kelembapan ekonomi negara, kurangnya keupayaan daya saing negara, masalah difisit, pengangguran dan inflasi tidak disentuh semasa pembentangan belanjawan.
"Ini bersangkutan dengan isu pengurusan kerajaan yang tercemar kerana merebaknya barah rasuah, pembaziran dan percanggahan kepentingan," kata beliau yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau juga menyangkal kenyataan Menteri Kewangan yang menyatakan bahawa kemasukan Pelaburan Asing Terus (FDI) ke negara ini masih lagi kuat.
"Pelaburan asing terus kita sebenarnya kian berkurangan. "Pada tahun 2006, FDI kita hanya berjumlah AS4 bilion, berbanding dengan AS5.6 bilion pada tahun 2001.
"Pelabur-pelabur asing seakan-akan tidak mempedulikan insentif-insentif yang kita tawarkan dan masih lagi lebih tertarik untuk melabur di China, India dan Vietnam," tambah beliau.
Pertumbuhan KDNK
Datin Seri Dr. Wan Azizah juga membandingkan FDI dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) antara Malaysia dan jirannya, Vietnam.
"FDI yang telah diterima oleh Vietnam pada tahun 2006 ialah AS7.6 bilion, berbanding dengan Malaysia yang berjumlah AS5.5 bilion.
"Jumlah FDI yang diluluskan setakat ini pada tahun 2007 ialah AS4.1 billion untuk Malaysia berbanding AS7.5 billion (sehingga pertengahan tahun 2007).
"Pertumbuhan KDNK pada tahun 2006 untuk Malaysia ialah 5.9 peratus tetapi untuk Vietnam, 8.2 peratus!"
Beliau memberi dua sebab mengapa FDI dan daya saing negara semakin merosot.
"Pertamanya, kelemahan pengurusan, rasuah dan sistem tender yang tidak telus. Kelemahan sistem perundangan, kadar peningkatan jenayah masih merupakan masalah pokok," katanya.
Tidak berdaya saing
Menurutnya, usahawan negara sendiri telah lari ke India dan China, bukan sahaja kerana tarikan insentif dan tenaga kerja di negara-negara itu, tetapi juga kerana tidak tahan lagi kerenah birokrasi, penyelewengan dan rasuah yang membelenggu negara ini.
"Keduanya, dasar ekonomi yang usang, gagal menjana pertumbuhan ekonomi dan tidak berdaya saing.
"Bahkan alasan kepentingan ekonomi bumiputera dipergunakan bagi membolehkan golongan kaya membolot semua peluang besar dan kecil yang ada," katanya.
Beliau berkata, kejatuhan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah bukan sahaja memalukan nama Malaysia tetapi juga boleh dikaitkan dengan kejatuhan 14 peratus dalam FDI negara.
"Selagi kita tidak menangani dua masalah ini, selagi itulah FDI tidak akan melimpah masuk ke dalam negara kita. Tanpa dana tersebut sudah tentu segala niat usaha kita akan gagal," tambahnya.

