Pemuda Umno Terengganu melancarkan kempen memungut tandatangan secara besar-besaran sebagai mengutuk perbuatan membakar Jalar Gemilang sewaktu kejadian rusuhan di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu Sabtu lalu.

Kempen selama sebulan itu dilancarkan oleh Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Rosol Wahid hari ini, demikian menurut laporan Bernama.

"Kita akan mendapatkan tandatangan daripada seluruh rakyat Terengganu termasuk dari badan bukan kerajaan (NGO) sebagai membantah tindakan (membakar Jalur Gemilang) itu," katanya selepas melancarkan kempen tersebut yang diketuai oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno Terengganu, Razali Idris.

Menurut Razali, tandatangan yang dikumpul itu akan diserahkan kepada Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh bagi menunjukkan bantahan rakyat Terengganu terhadap mereka yang melakukan tindakan tidak bertanggungjawab itu.

Di majlis yang sama, Rosol juga turut melancarkan lamanweb yang memaparkan tindakan agresif perusuh dalam kejadian rusuhan di Jalan Sultan Mahmud dan orang ramai boleh melayarinya di www.khianatjgemilang.fotopages.com.

Polis minta maklumat

Sementara itu, polis Terengganu meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tindakan segelintir individu yang membakar Jalur Gemilang itu supaya tampil bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Supt Khairi Ahrasa berkata setakat ini polis hanya menerima satu laporan yang dibuat Pemuda Umno Terengganu berhubung insiden tersebut.

"Kita turut menerima laporan yang dibuat Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) berhubung kemusnahan harta benda awam dalam kejadian rusuhan itu," katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Terengganu ini.

Perbuatan membakar Jalur Gemilang itu berlaku semasa insiden rusuhan pada malam Sabtu lalu yang dikatakan berpunca daripada perasaan tidak puas hati penyokong parti pembangkang kerana pihak berkuasa tidak mengeluarkan permit untuk mengadakan ceramah di Batu Buruk.

Khairi berkata kes membakar Jalur Gemilang itu disiasat mengikut Seksyen 440 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat semasa berlakunya kekacauan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun dan denda.