Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan mengumpulkan mulai minggu depan, fakta-fakta berhubung rusuhan yang tercetus di Kuala Terengganu Sabtu lalu.

Badan pemantau pilihanraya, Gabungan Pilihanraya Adil dan Bebas (Bersih), menyerahkan memorandum kepada Suhakam di pejabat suruhanjaya itu di Kuala Lumpur pagi ini, menuntut supaya insiden tersebut disiasat segera.

Bersih dianggotai lebih 26 badan bukan kerajaan (NGO) dan lima parti pembangkang untuk memperjuangkan reformasi pilihanraya.

Dalam pertemuan kira-kira 30 minit itu, Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N Siva Subramaniam berkata siasatan terhadap insiden tersebut akan dimulakan Rabu depan.

"Kita akan mengunjungi dua lelaki yang ditembak dan akan mengadakan pertemuan dengan pihak polis dan mangsa terbabit pada 19 dan 20 September ini," katanya.

Sabtu lalu, satu rusuhan tercetus di Pantai Batu Buruk apabila pihak polis enggan memberi permit untuk satu ceramah anjuran Bersih di situ.

Jumpa mangsa

Ekoran itu, dua orang - Suwandi Abdul Ghani, 37, dan Muhamad Azman Aziz, 21, masing-masing cedera terkena tembakan di dada dan leher. Kedua-duanya sedang dirawat dan dilaporkan stabil.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayub Yaakob telah menjelaskan bahawa anggota polis terbabit ialah Konstable Wan Abdul Aziz, 25, yang dikatakan telah melepaskan empat das tembakan apabila diserang oleh sekumpulan lelaki.

Siva berkata, Suhakam telah memberi masa tiga hari kepada enam pegawainya yang berada di Kuala Terengganu untuk menyediakan satu laporan untuk dikemukakan kepada Pengerusi Suhakam, Tan Sri Abu Talib Othman pada 25 September depan.

"Kita telah memantau keadaan dan kita faham apa yang telah berlaku. Kita akan menyiasat pelanggaran hak asasi manusia," katanya.

Bagaimanapun, kata Siva, pengumpulan fakta-fakta tersebut tidak menjamin bahawa satu siasatan awam akan diadakan kerana ia tertakluk kepada keputusan bersama lembaga pesuruhjaya Suhakam.

Ahli jawatankuasa Bersih, R Sivarasa menimbulkan soal 'rampasan' kamera jurugambar pada malam kejadian tersebut dan penggunaan senjatapi oleh anggota polis tidak beruniform sebagai ejen provokasi.

Liputan seimbang

Sementara itu, anggota urusetia gabungan tersebut, Faisal Mustaffa turut menggesa Suhakam supaya melihat bagaimana akhbar arus perdana melaporkan isu tersebut.

Beliau membuat persembahan slaid yang menunjukkan bagaimana pihak media menyiarkan komen-komen dari pihak polis dan kerajaan dan hanya sedikit atau tiada langsung komen dari gabungan tersebut.

"Kita harap pihak suruhanjaya akan dapat menasihatkan agensi-agensi media bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk melaporkan dari kedua belah pihak.

"Kita juga mempunyai hak untuk mendapatkan liputan yang seimbang," katanya. Berita asal