KP BPR arah nama buruan polis dihapus dari senarai dikehendaki
Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah mengarahkan nama bekas majistret Balbir Kaur, 49, yang melanggar ikatjamin 20 tahun lalu untuk mengelak dakwaan rasuah, dihapuskan dari senarai orang buruan Interpol.
Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah mengarahkan nama bekas majistret Balbir Kaur, 49, yang melanggar ikatjamin 20 tahun lalu untuk mengelak dakwaan rasuah, dihapuskan dari senarai orang buruan Interpol.
Pada 1987, Balbir ditangkap oleh BPR kerana dikatakan menerima RM25,000 sebagai sogokan bagi melepaskan tiga warga Indonesia yang menghadapi tuduhan di bawah Akta Kastam.
Bila ditawarkan ikat jamin, beliau melarikan diri, demikian menurut laporan Bernama.
Seorang pegawai kanan polis berkata, nama bekas majistret itu dipadamkan dari 'Senarai Yang Dikehenaki' Interpol tempatan, kira-kira dua bulan lalu.
Katanya, ia berikutan arahan arahan ketua pengarah BPR supaya nama Balbir, yang berusia 49 tahun itu dihapuskan dari `Notis Merah' bahagian Interpol ibu pejabat polis Persekutuan di Bukit Aman.
Pegawai polis berkata, ini bererti tidak ada tindakan selanjutnya akan diambil terhadap Balbir, yang dipercayai menetap di Chandigarh, India, tetapi beliau enggan mengulas lanjut.
Difahamkan Balbir, yang sekarang memakai nama Daljit Kaur, telah mendirikan rumahtangga dengan seorang warga India di sebuah kawasan mewah di Chandigarh (India). Pasangan itu mempunyai tiga anak dewasa.
Chandigarh ialah ibu pentadbiran negeri-negeri Punjab dan Hariyana.
India adalah satu dari lima negara yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia. Negara lain ialah Amerika Syarikat, Australia, Hong Kong dan Thailand.

