Paling Popular
Terkini

Pemilihan Bersatu baru-baru ini menyaksikan seorang lagi ahli politik bukan Melayu terpilih sebagai ahli majlis pimpinan tertinggi (MPT)parti itu.

Bercakap kepada Malaysiakini, Lim Ting Khai berkata, dia menyertai Bersatu sebelum ini kerana yakin parti itu dapat merapatkan jurang antara Semenanjung dan Sabah.

"Sebab saya bersama dalam perjuangan dengan parti ini kerana ia berusaha untuk merapatkan jurang antara Sabah dan Semenanjung.

"Ini memberi harapan kepada kami di Sabah bahawa isu-isu kami tidak diabaikan," katanya yang berdarah Cina-Kadazandusun dan berasal dari Tawau, Sabah.

Seorang lagi pemimpin bukan Melayu dalam barisan kepimpinan tertinggi Bersatu ialah naib presidennya Ronald Kiandee, yang berjaya mempertahan jawatannya dalam pemilihan berkenaan

Selain menganggotai MPT, Lim juga merupakan ketua Bersatu bahagian Tawau dan bendahari Bersatu Sabah.

Lim berkata, Bersatu perlu memberi tumpuan kepada dasar yang lebih inklusif bagi menangani isu-isu yang memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia, seperti kestabilan ekonomi, pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Ini katanya, merupakan salah satu cara untuk menarik minat masyarakat bukan Melayu untuk bersama perjuangan parti itu.

"Penerimaan dan sokongan daripada ahli akar umbi di seluruh negara jelas melihatkan bahawa Bersatu juga mempelawa masyarakat daripada setiap lapisan tanpa mengira bangsa dan latar belakang, untuk memperkasakan dasar-dasar parti," katanya.

Lim merupakan bekas ahli Parti Liberal Demokratik (LDP), yang merupakan sebahagian daripada BN sehinggalah parti itu keluar daripada gabungan itu selepas kekalahannya dalam pilihan raya umum 2018. Pada tahun tersebut, dia bertanding di kerusi DUN Merotai tetapi tewas kepada Warisan.

Pada tahun 2020, Lim bertanding mewakili LDP di kerusi DUN Sri Tanjong, namun hilang wang deposit setelah hanya memperoleh 276 undi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS