Lim: Arah menteri, bekas menteri perlu beri keterangan pada PAC
Kabinet perlu mengarahkan semua menteri dan bekas menteri terbabit supaya memberi penjelasan terperinci kepada Jawatan Kira-kira Awam (PAC) bagi setiap penyelewengan dan salah urus dana kerajaan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006, kata Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.
Kabinet perlu mengarahkan semua menteri dan bekas menteri terbabit supaya memberi penjelasan terperinci kepada Jawatan Kira-kira Awam (PAC) bagi setiap penyelewengan dan salah urus dana kerajaan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006, kata Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.
Katanya, semua menteri dan bekas menteri terbabit perlu dipertanggungjawabkan terhadap laporan tersebut.
Ahli Parlimen Ipoh Timur itu berkata, walaupun setiap tahun Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan perbuatan rasuah, pecah amanah, penyelewengan dan salahurus wang rakyat, tetapi ianya masih berterusan.
Oleh itu, katanya, arahan seumpama itu bukan sahaja penting untuk memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap mereka yang terbabit tetapi juga untuk memastikan perbuatan mengkhianti amanah rakyat itu, tidak berulang.
Kit Siang menegaskan demikian sebagai mengulas laporan mengenai arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada menteri terbabit supaya memberi penjelasan kepada Kabinet mengenai perkara yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006.
Sehubungan itu, dalam kenyataannya hari ini, ketua pembangkang itu itu mengemukakan tiga soalan berhubung arahan tersebut.
Pertama, mengapa baru sekarang Abdullah membuat arahan tersebut, sedangkan menurut Kit Siang, Perdana Menteri telah menerima Laporan Ketua Audit Negara 2006 pada hujung bulan Jun.
"Malah, Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Datuk Ahmad Said Hamdan mengakui telah menerima salinan laporan Ketua Audit Negara 2006 "tidak lama dahulu" dan BPR telah memulakan siasatan terhadap laporan tersebut "lama sebelum ia dibentangkan di Parlimen" pada 7 September," katanya.
Prinsip akauntabiliti
Kedua, soal Kit Siang, apakah para menteri terbabit akan diwajibkan menjelaskan secara terperinci kepada kabinet Rabu ini mengapa kementerian mereka menyalahgunakan dana kerajaan dan penyelewengan yang lain, bagi setiap perkara yang dibangkitkan oleh Ketua Audit Negara?
"Apakah Perdana Menteri akan melaporkan kepada rakyat selepas mesyuarat (kabinet) Rabu ini mengenai menteri-menteri yang memberi jawapan yang memuaskan dan mereka yang gagal berbuat demikian, dan apakah tindakan yang akan diambil terhadap mereka?
"Atau memang tiada niat langsung untuk mengadakan siasatan di peringkat kabinet mengenai rasuah dan penyelewengan wang kerajaan oleh kementerian yang didedahkan dalamn Laporan Ketua Audit Negara itu?" soal Kit Siang.
Yang ketiga, tanya beliau, mengapakah para menteri berkenaan hanya diminta memberi penjelasan kepada kabinet dan tidak kepada Parlimen dan rakyat?
Katanya, semua menteri bertanggungjawab kepada Parlimen dan negara untuk mematuhi prinsip-prinsip akauantabiliti, amanah dan integriti.
Oleh itu, katanya, mesyuarat kabinet Rabu ini perlu mengarahkan semua menteri dan bekas menteri yang dibabitkan dalam laporan Ketua Audit Negara itu dihadapkan kepada PAC.
"Hanya jika kabinet mengarahkan mereka memberi penjelasan terperinci kepada PAC bagi setiap dakwaan yang dibangkitkan dalam laporan tersebut, maka barulah rakyat boleh mempercayai bahawa Perdana Menteri dan para menteri kabinetnya serius mengenai soal akauntabiliti, ketelusan, kekjurusan dan bertanggungjawab sebagai seorang menteri," katanya.
Jika tidak, tambah beliau, ia menunjukkan tiada perubahan langsung dalam pentadbiran Abdullah sebagai Perdana Menteri sejak empat tahun lalu.

