Najib: Umno tidak cadang sekolah Cina ditutup
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seti Najib Tun Razak berkata, pemimpin Umno telah menerima hakikat bahawa pelajar semua kaum tidak boleh belajar di bawah satu bumbung dalam mana-mana aliran pendidikan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seti Najib Tun Razak berkata, pemimpin Umno telah menerima hakikat bahawa pelajar semua kaum tidak boleh belajar di bawah satu bumbung dalam mana-mana aliran pendidikan.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno dan Barisan Nasional (BN) berkata, ini kerana tidak ada keseragaman dalam sistem pendidikan negara, yang terdiri daripada sekolah Cina, Tamil dan sekolah kebangsaan.
Dalam satu temubual dengan akhbar berbahasa Cina,
Sin Chew Daily
hari ini, Najib berkata, pemimpin Umno telah menerima realiti tersebut dan tidak membuat sebarang cadangan supaya menutup sekolah Cina.
Bagaimanapun, dalam temubual tersebut, Najib tidak membuat sebarang komen mengenai dasar "Sekolah Wawasan' - yang diilhamkan sewaktu pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk menempatkan pelajar dari semua kaum di bawah satu bumbung bagi mengurangkan masalah polarisasi kaum.
Kumpulan pendidikan vernakular telah menentang dasar tersebut, yang matlamat akhirnya, kata mereka, adalah untuk menutup sekolah jenis kebangsaan di negara ini.
Sejak Dr Mahathir meletakkan jawatan pada Oktober 2003, kerajaan juga juga telah menjalankan usaha-usaha untuk menarik lebih ramai pelajar bukan Melayu belajar di sekolah kebangsaan untuk tujuan yang sama.
Dalam temubual tersebut, Najib mengakui bahawa terdapat masalah dalam pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) tetapi menegaskan perlunya dasar kontroversi itu dikekalkan.
"Jika kerajaan tidak membantu orang Melayu, merek akan menjadi lebih teruk dan ketinggalan di belakang (kaum-kaum lain). Isunya adalah bagaimana hendak membantu orang Melayu supaya berdikari melalui cara yang sesuai.
"Saya mengakui bahawa kerajaan telah membantu orang Melayu yang tidak layak (mendapat bantuan) dan orang Melayu ini tidak memanfaatkan peluang ini untuk belajar berdikari. Kita tahu kelemahannya dan kita akan cuba menangani masalah ini," katanya.
Pelbagai pihak telah menggesa kerajaan supaya memansuhkan DEB, satu dasar tindakan yang memberi keistimewaan kepada bumiputera sejak ia dilaksanakan pada tahun 1970-an.
Salah seorang pengkritik DEB ialah adik lelaki Najib sendiri, seorang ahli pembankan terkemuka, Datuk Nazir, yang menegaskan perlunya dasar tersebut "dikaji semula secara terperinci".
Kedudukan MCA
Mengenai MCA, Najib berkata, sekiranya masyarakat Cina menganggap MCA tidak melakukan yang terbaik, maka ianya adalah kerana parti politik itu sendiri tidak memberi penjelasan secukupnya mengenai usahanya untuk menjaga kepentingan mereka.
Sehubungan itu, beliau mahu MCA meningkatkan usaha bagi membetulkan sentimen seumpama itu, terutama dengan adanya tanggapan bahawa masyarakat CIna akan beralih menyokong parti pembangkang dalam pilihanraya umum akan datang.
Beliau mengulas mengenai kemarahan masyarakat Cina terhadap MCA dan kemungkinan parti itu kehilangan sokongan politik dari kaum tersebut.
Juga wujud sentimen di kalangan pemimpin MCA bahawa ketika mereka sedang sibuk berusaha keras, pemimpin BN yang lain telah membangkitkan isu-isu yang membakar sentimen masyarakat tersebut.
Najib nampaknya tidak bersetuju dengan pandangan tersebut tetapi memberitahu MCA bahawa cabaran yang dihadapi parti itu adalah untuk memperjelaskan mengenai pelbagai dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat Cina.
"Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting sentiasa berhubungan dengan saya dan (kami) berusaha untuk menyelesaikan masalah-masalah secara bersama. Mereka (pemimpin parti) tidak memainkan isu-isu untuk mendapatkan publisiti, tetapi memilih untuk mendapatkan bantuan melalui perundingan dalam kabinet," kata Najib.
Beliau menyuarakan keyakinannya bahawa MCA akan terus mendapatkan sokongan pengundi Cina, tetapi mengulangi bahawa parti itu perlu meningkatkan usahanya untuk memberi penjelasan bagaimana ia menjaga kepentingan masyarakat Cina, serta memperbetulkan salah tanggapan terhadapnya.
Tinjauan pendapat umum menunjukkan dua daripada tiga pengundi Cina dijangka mengundi pembangkang dalam pilihanraya umum akan datang dan isu-isu ekonomi jenayah menjadi kebimbangan utama mereka.
Najib enggan menilai peluang pembangkang dalam pilihanraya kali ini, yang diramal akan diadakan pada bila-bila masa antara hujung tahun dan awal tahun depan. BN mempunyai mandat untuk memerintah sehingga April 2009.

