Idris: Khabar angin rusuhan di T'ganu disebar di Mesir
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh mendakwa, sekumpulan pelajar Malaysia di Mesir menyebarkan khabar angin kononnya rusuhan di Terengganu pada 8 September lalu sangat dahsyat, sehingga ada yang maut semasa bertempur dengan polis.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh mendakwa, sekumpulan pelajar Malaysia di Mesir menyebarkan khabar angin kononnya rusuhan di Terengganu pada 8 September lalu sangat dahsyat, sehingga ada yang maut semasa bertempur dengan polis.
Sehubungan itu, beliau menggesa Wisma Putra mengambil tindakan terhadap kumpulan pelajar terbabit yang menurutnya sering menghasut pelajar baru supaya membenci kerajaan.
Katanya, para pelajar terbabit menuntut di Universiti Al-Azhar dan berada di sana sejak lebih 10 tahun, demikian menurut laporan Bernama.
"Sejak hari pertama pelajar baru yang menjejakkan kaki di Mesir, mereka akan ditarik oleh kumpulan pelajar ini supaya menyertai kumpulan mereka dan dilarang menyertai majlis-majlis yang dianjur oleh kerajaan di sana," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat lima anggota polis yang cedera semasa rusuhan di Batu Buruk pada 8 September lalu, di pejabat Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Kuala Terengganu semalam. Beliau diiringi Ketua Polis Terengganu Datuk Ayub Yaakob.
Lima anggota polis yang semakin beransur pulih itu ialah Konstabel Azmi Husin, Konstabel Wan Aziz Wan Omar, Konstabel Mohd Imran Ismail, L/Kpl S.Chandran dan Kpl Che Malek Jusoh.
Dalam kejadian 8 September lalu, polis menahan 23 lelaki berumur antara 20 dan 30 tahun kerana membaling batu, botol, kayu dan bom api ke arah anggota polis serta merosakkan harta benda awam termasuk membakar Jalur Gemilang.
Insiden tersebut berlaku selepas pihak polis enggan memberi permit untuk ceramah anjuran badan pemantau pilihanraya - Bersih - yang merupakan gabungan badan bukan kerajaan dan parti pembangkang, di pantai Batu Buruk pada malam 8 September lalu.
Idris yang baru pulang dari Mesir berkata budaya yang dibawa oleh gologan pelajar Malaysia yang dihasut oleh rakan mereka itu amat berbeza dengan budaya pelajar-pelajar lain di Universiti Al-Azhar.
"Antara budaya sempit mereka ialah sebaik sahaja pelajar baru Malaysia sampai di sana, mereka dihasut supaya mengecam kerajaan, budaya tidak bersyukur dan menggambarkan seolah-olah kita berada dalam keadaan huru-hara dan darurat, mengecam serta menghina pemimpin kerajaan," katanya dan menambah bahawa gejala itu perlu dibendung.

