DAP hari ini mahu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam supaya akur kepada arahan kabinet dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak menjalankan operasi pemusnahan khinzir secara besar-besaran dan membenarkan ternakannya diteruskan jika kawalan alam sekitar dipatuhi.

Di samping itu, kata Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, Timbalan Perdana Menteri itu turut dilaporkan oleh Sin Chew Daily pada 16 September lalu sebagai berkata, kabinet telah memberikan arahan kepada kerajaan negeri Melaka untuk menggunakan formula penyelesaian yang praktikal dalam menyelesaikan masalah penternakan khinzir di Melaka secara baik, dan mengemukakan dua formula penyelesaian alternatif, iaitu.

Pertama, kerajaan negeri Melaka bersetuju memberikan kebenaran kepada penternak khinzir mengubah tujuan kegunaan tanah;

Kedua, kerajaan negeri Melaka memberi jaminan kepada bank bahawa tidak akan mengambil balik geran sementara tanah penternakan khinzir,

Memastikan bank meluluskan permohonan pinjaman bank kepada para penternak khinzir, dan

Memastikan para penternak khinzir meningkatkan kemudahan mereka supaya mematuhi piawaian perlindungan alam sekitar.

Laporan itu, kata Lim, memetik Najib sebagai berkata, beliau telah memberikan arahan kepada kerajaan negeri Melaka supaya tidak menjalankan operasi pemusnahan khinzir secara besar-besaran untuk mengelakkan salah faham pihak luar bahawa kerajaan menggunakan kekerasan dalam memaksa penternak khinzir mematuhi arahan tersebut dan akan mencari satu formula penyelesaian yang bersesuaian.

Dalam memorandumnya kepada Ketua Menteri Melaka hari ini, Lim berkata, jelas sekali bahawa kerajaan negeri tidak boleh menjalankan operasi secara pemusnahan khinzir secara besar-besaran.

Katanya, memandangkan kerajaan negeri Melaka juga adalah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sama dengan kerajaan pusat, manakala Timbalan Perdana Menteri adalah ketua kepada Ketua Menteri dalam Umno, "maka tidak mungkin Ketua Menteri melawan atau mencabar arahan tersebut".

Suarakan kekesalan

"Kerajaan negeri tidak boleh menggunakan tindakan keras dan ganas sepertimana yang digunakan pada 4 September 2007, di mana penduduk yang mematuhi undang-undang dan hidup aman di Kampung Paya Mengkuang, Kampung Baru Man Lok, Ayer Moleh dan Bukit Beruang di kawasan Kuala Sungai Baru diburu seperti pengganas dan penjenayah.

"Peristiwa hitam itu, di mana 2,000 anggota kerajaan termasuk FRU, kereta perisai air dan helikopter mengepung penduduk, mengingatkan kami macam mana penduduk Palestin dikongkong, didera dan dianiayai oleh rejim Israel yang begitu ganas dan tidak berperikemanusiaan," katanya dalam memorandum tersebut.

Lim juga menyuarakan kekesalannya kerana Ketua Menteri masih belum mengumumkan penerimaan cadangan penyelesaian yang dikemukakan oleh kabinet - baik dalam aspek membatalkan operasi besar-besaran memusnahkan khinzir pada atau selepas 21 September ini, mahupun membenarkan ternakan khinzir diteruskan.

"Sebaliknya YAB meria-riakan sokongan padu dari dua ahli Exco MCA dengan mengumumkan bahawa Exco Negeri Melaka menerima cadangan MCA untuk mengurangkan pengeluaran ternakan khinzir daripada 145,241 kepada 48,000 ekor," tambahnya.

Sedangkan, dakwa Lim, terdapat kilang-kilang yang mencemarkan aliran Sungai Melaka tetapi "kerajaan tidak sampai hati menutup kilang tersebut, selain daripada mengenakan hukuman denda".

"Mengapa ladang ternakan khinzir yang bersih dan tidak mengotorkan aliran sungai kena ditutup, tetapi tidaknya kilang yang mencemarkan sungai dengan bahan kimia toksid yang memudaratkan kesihatan rakyat?" soalnya.

Enam cadangan

Sebelum ini, kata Lim, DAP telahpun mencadangkan enam langkah untuk menyelesaikan krisis ternakan khinzir bagi mengelak peristiwa tidak diingini sekiranya berlakunya operasi pemusnahan oleh pihak berkuasa dan pada masa yang sama, memenuhi kawalan alam sekitar yang bersih dan sihat. Enam langkah itu adalah:

Menutup lading ternakan khinzir yang kotor atau gagal memenuhi standard alam sekitar selepas suatu tempoh masa yang diberikan di mana tempoh masa ini akan dirundingkan antara penternak khinzir dengan Jabatan Haiwan dan Jabatan Alam Sekitar;

Mengeluarkan lesen ternakan khinzir kepada penternak yang dibenarkan menternak khinzir kerana bersih dan akur kepada piawaian alam sekitar;

Mengarahkan kedua-dua ahli Exo Negeri Melaka dari MCA - Datuk Koh Nai Kwong dan Datuk Seah Kwi Tong - menarik balik cadangan mereka kepada Exco negeri untuk mengurangkan pengeluaran khinzir daripada 145,241 ekor khinzir kepada 48,000 ekor khinzir dalam masa 15 hari yang sama dengan arahan menutup ladang khinzir tidak kira bersih atau tidak;

Sekiranya ladang ternakan khinzir diambil oleh kerajaan, gantirugi penuh mesti dibayar, termasuk bangunan, alat perkakas, jentera dan ternakan khinzir agar mereka tidak kehilangan segala hasil titik peluh mereka.

Memastikan Notis 7B yang dikeluarkan kepada penternak khinzir di bawah seksyen 129 Kanun Negara terbatal, dan mengambil tindakan disiplin ke atas pegawai Pejabat Tanah Alor Gajah yang mahu merampas tanah mereka tanpa sebarang bayaran pampasan.

Membatalkan sebarang tindakan ganas yang dicadangkan pada atau selepas 21 September ini untuk memusnahkan ternakan khinzir secara paksa yang akan menghancurkan keharmonian dan permuafakatan sosial di kalangan masyarakan majmuk negara.

Di segi prinsipnya, kata Lim, cadangan Najib adalah sama dengan cadangan DAP.

Lim menegaskan bahawa jawapan awal Ketua Menteri adalah diperlukan bagi mengelak pegawai kerajaan yang tidak bertanggungjawab "bermaharajalele menyalahgunakan kuasa hingga menimbulkan ketegangan serius dalam masyarakat".

"Kami ingin menarik perhatian bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri telahpun dikecam oleh seluruh masyarakat Cina sebagai melampau, termasuk parti MCA yang hanya menyatakan ini dalam suratkhabar Cina tetapi tidak di depan YAB ataupun di suratkhabar bukan berbahasa Cina," katanya.

Sehubungan itu, Lim menggesa supaya Setiausaha Kerajaan Negeri dipecat serta-merta kerana mendakwa beliau "tidak boleh lagi merupakan wadah perpaduan rakyat tetapi (menjadi) unsur perpecahan rakyat Melaka".