Barisan Alternatif (BA) yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS mengumumkan akan bertanding tujuh kerusi Parlimen dan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang dalam pilihanraya umum akan datang.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed hari ini, selepas sebuah lagi parti pembangkang - DAP - mengumumkan Ahad lalu akan bertanding di tujuh kerusi Parlimen dan 22 kerusi DUn di Pulau Pinang.

Pulau Pinang mempunyai 13 kerusi Parlimen dan 40 kerusi DUN. Ini bermakna berlaku pertindihan kerusi antara BA dan DAP bagi satu kerusi Parlimen dan dua kerusi negeri.

Malaysiakini difahamkan, kerusi Parlimen yang menjadi rebutan antara BN dan DAP ialah kerusi Batu Kawan, manakala salah satu kerusi DUN terbabit ialah Bukit Tambun.

Berikutan itu, kata Zahrain, satu mesyuarat khas diadakan di kalangan pemimpinnya di ibu pejabat parti itu semalam berhubungan kekeliruan yang timbul dalam pengagihan kerusi antara PKR dan DAP di Pulau Pinang.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, mesyuarat tersebut telah menetapkan pendirian jelas seperti berikut:

PKR dan PAS (Barisan Alternatif) tetap bertanding tujuh kerusi Parlimen dan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri di Pulau Pinang.

Berpegang teguh kepada prinsip "satu lawan satu" bagi mengelakkan "pertandingan tiga penjuru" antara parti pembangkang..

Isu pengagihan kerusi di antara PKR dan DAP wajib mencapai penyelesaian sebelum Parlimen dibubarkan.

Kerjasama yang ikhlas terjalin di kalangan pihak pembangkang, terutamanya dengan DAP untuk mengelakkan daripada terjebak ke dalam perangkap parti lawan yang berikhtiar melemahkan pakatan pembangkang.

Menyeru pihak media membuat laporan yang benar dan bukan berdasarkan spekulasi supaya maklumat yang disebarkan kepada umum adalah sahih.

Menurut Zahrain, tujuh kerusi Parlimen yang akan ditandingi calon BN di Pulau Pinang ialah Kepala Batas, Tasik Gelugor, Permatang Pauh, Nibong Tebal, Batu Kawan, Balik Pulau dan Bayan Baru.

Kerusi negeri yang akan ditandingi BA ialah Batu Uban, Pantai Jerejak, Batu Maung, Teluk Bahang, Bayan Lepas, Pulau Betong, Bertam, Penaga, Pinang Tunggal, Sungai Dua, Permatang Berangan, Teluk Air Tawar, Seberang Jaya, Penanti, Permatang Pasir, Machang Bubuk, Bukit Tambun, Bukit Tengah, Sungai Bakap dan Sungai Acheh.