Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia (UM), Azarae Idris hari ini menafikan beliau telah mengeluarkan surat yang menyatakan bahawa pilihanraya kampus bagi universiti awam telah ditetapkan pada 27 September depan.

Menurutnya, surat itu yang mempunyai tandatangannya itu adalah surat palsu. Surat itu ditampalkan di Fakulti Undang-undang universiti tersebut.

Surat itu juga menyebut bahawa penetapan tarikh tersebut dibuat dalam satu mesyuarat dengan semua timbalan naib canselor (halehwal pelajar) di Putrajaya pada 17 September lalu.

Menurut surat itu lagi, Majlis Perwakilan Mahasiswa di semua universiti awam telah dibubarkan semalam. Pihak universiti akan mengeluarkan notis kepada semua fakulti dan kolej masing-masing untuk memaklumkan kepada mereka mengenai tarikh pilihanraya kampus itu.

Menurut sumber-sumber, Naib Canselor UM, Datuk Rafiah Salim telah mengesahkan perkara itu dalam satu pertemuan dengan kumpulan pro-pelajar UM semalam bahawa proses pemilihan kampus akan bermula Isnin depan.

Bagaimanapun, ketika dihubungi hari ini, Azarae telah menafikan tarikh pilihanraya kampus telahpun ditetapkan.

Katanya, surat tersebut adalah palsu dan beliau tidak pernah menandatangani surat seumpama itu.

Dua hari kempen

Sementara itu, seorang aktivis pelajar menjelaskan bahawa 21 September ditetapkan sebagai tarikh untuk membeli borang pencalonan. Pencalonan akan diadakan tiga hari kemudiannya.

Ini bermakna, para pelajar mempunyai masa dua hari untuk berkempen sebelum pengundian diadakan.

Sebelum itu, ramai pemimpin pelajar seperti Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Sheikh Omar Ali telah melahirkan rasa tidak puashati terhadap tempoh waktu berkempen yang terlalu singkat.

Pada 21 September, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazri Aziz, yang juga pengerusi Kaukus Parlimen Mengenai Hak Asasi Manusia, berjanji untuk menggesa Kementerian Pengajian Tingi untuk memanjangkan tempoh berkempen.

Pada masa lalu, pilihanraya kampus dicemari dengan dakwaan berlaku penipuan dalam proses pengundian, diskriminasi dan gangguan.

Dakwaan tersebut sering dibangkitkan oleh kumpulan anti-establishment yang dianggap sebagai pro-pembangkang. Satu lagi kumpulan yang dikenali sebagai aspirasi dilihat sebagai pro-kerajaan. Berita asal