Johor terpaksa berhutang untuk belanja pembangunan
Kerajaan Johor telah kehilangan geran bernilai lebih RM1 bilion dari kerajaan pusat berikutan penswastaan bekalan air 12 tahun lalu, kata Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman hari ini.
Kerajaan Johor telah kehilangan geran bernilai lebih RM1 bilion dari kerajaan pusat berikutan penswastaan bekalan air 12 tahun lalu, kata Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman hari ini.
Ekoran itu, katanya, kerajaan negeri Johor terpaksa meminjam dari kerajaan pusat untuk belanja pembangunan sehingga berhutang sebanyak RM655.88 juta.
Abdul Ghani menjelaskan demikian ketika diminta mengulas laporan Ketua Audit Negara yang menyatakan Johor berhutang sebanyak RM655.88 juta dari kerajaan pusat, demikian menurut laporan Bernama.
"Johor sudah tidak menerima bantuan geran sebanyak RM100 juta setahun dari Kerajaan Pusat sejak 12 tahun lalu. Pernyataan ini terkandung dalam persetujuan yang dicatatkan dengan kerajaan Pusat," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri semalam.
Katanya perkara ini berbeza dengan negeri-negeri lain yang masih menerima geran dari kerajaan pusat untuk operasi perbekalan air masing-masing.
Menurutnya, 92.68 peratus daripada pinjaman kerajaan pusat itu digunakan untuk membiayai perbekalan air ke luar bandar oleh Syarikat Air Johor (SAJ).
Rumah kos rendah
Sebanyak RM87.7 juta dipinjamkan kepada Johor Corporation (JCorp), manakala RM100 juta dipinjam kerajaan negeri untuk membina rumah kos murah.
Abdul Ghani berkata selain daripada dibelanjakan untuk bekalan air luar bandar, pinjaman juga dibuat untuk membina loji air baru di Semanggar di Johor Baharu yang menelan belanja RM300 juta.
"Dengan pembinaan loji air itu, kita tidak lagi bergantung kepada bekalan air bersih yang diproses oleh Singapura untuk pengguna air di Johor Baharu," ujarnya.
Beliau berkata, semua pinjaman yang digunakan untuk projek bekalan air SAJ itu akan terhapus apabila semua aset dan tanggungan SAJ dipindahkan kepada sebuah syarikat pengurusan air yang tubuhkan Kerajaan Pusat dalam tempoh setahun lagi.
"JCorp akan menyelesaikan hutangnya mengikut tempoh bayaran balik yang ditetapkan, manakala kerajaan negeri akan menyelesaikan sendiri pinjaman RM100 juta bagi membina rumah kos rendahnya," katanya.

