Seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Yee Yang Yang - pemilik komputer riba dan barangan lain yang dirampas oleh pihak berkuasa UPM - menyifatkan tuduhan terhadapnya sebagai tidak berasas sama sekali.

Dalam memorandumnya kepada Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, Majlis Peguam, Yee menggariskan beberapa percangghan dalam tuduhan yang dibuat oleh Naib Canselor UPM, Datuk Nik Mustapha R Abdullah.

Yee ditemani oleh Penyelaras Gabungan Mahasiswa Malaysia (GMM), Lee Song Yong.

Menurut Lee, tuduhan terdapat bahan lucah dalam komputer riba Yee yang dirampas oleh anggota keselamatan UPM adalah tidak berasas kerana ia tidak boleh dibuka tanpa menggunakan kata-laluan yang betul.

"Pada 17 September, apabila Yee berjumpa dengan pengarah keselamatan UPM, dia meminta Yee memberitahunya kata-laluan bagi komputer riba tersebut.

"Tanpa kata-laluan itu, komputer riba itu tidak boleh dibuka, jadi bagaimana mereka tahu terdapat bahan lucah di dalamnya?" soalnya.

Dua hari sebelum berjumpa dengan pengarah keselamatan UPM itu, Lee mendakwa seorang pegawai keselamatan telah memberi amaran kepada Yee supaya jangan membuat kacau atau dia (Yee) akan dikenakan hukuman kerana menyimpan bahan lucah.

Selasa lalu, Nik Mustapha berkata, anggota keselamatan UPM telah menemui risalah oleh pertubuhan yang tidak berdaftar dalam bilik Yee.

Menurutnya, pihak berkuasa bertindak mengikut peraturan dan menolak dakwaan Yee yang dia menjadi sasaran kerana dari kumpulan pelajar anti-establishment.

Berat sebelah

Sementara itu, Lee juga tidak bersetuju dengan kenyataan Nik Mustapha bahawa Yee telah bersetuju supaya barang-barangnya itu diambil untuk siasatan.

Sebaliknya, kata belaiu, Yee telah meminta supaya barang-barangnya itu dipulangkan segera, tetapi ianya tidak dilayan.

Lee juga mempertikaikan dakwaan bahawa anggota keselamatan telah menjalankan pemeriksaan bilik kerana terdapat aduan mengenai beberapa kejadian kecurian komputer riba.

Beliau mendakwa, Yee hanya disoalsiasat mengenai risalah tersebut dan soal kecurian komputer riba tidak disentuh langsung.

Mengenai dakwaan Nik Mustapha bahawa Yee 'berbohong' mengenai kad matriknya, Lee berkata, pelajara tersebut telah kehilangan kad tersebut.

Sebaik menerima memorandum tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, Majlis Peguam, Edmund Bon berkata, pihak universiti telah bertindak secara yang tidak menyenangnya.

Bon berkata, alasan untuk merampas komputer riba Yee "seolah-olah hanya alasan untuk perkara lain".

"Kita mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa kes ini hanyalah satu sampingan kerana jelas ianya bukan mengenai komputer riba tetapi sebab-sebab lain," jelasnya.

Timbalan Pengerusi jawatankuasa tersebut, Amer Hamzah Arshad mengkritik Nik Mustapha kerana membuat kenyataan yang disifatkanya sebagai pramasa dan berat sebelah.

Sebagai seorang timbalan canselor, katanya, Nik Mustapha sepatutnya mengambil pendirian berkecuali dan tidak memihak.

Menurutnya, tindakan untuk menyekat kebebasan bersuara kini telah menjadi satu kecenderungan yang membimbangkan di semua universiti awam.

Amer kemudiannya memberi jaminan bahawa jawatankuasa tersebut akan mengkaji memorandum itu dan mengambil tidakan sewajarnya.

Turut hadir di sidang akhbar tersebut ialah beberapa kumpulan pelajar termasuk Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS) dan Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema). Berita asal