Tempoh bawa keluar babi dilanjut hingga 4 Okt
Kerajaan Melaka bersetuju untuk melanjutkan 13 hari lagi - sehingga 4 Oktober depan - tempoh bagi penternak babi membawa keluar ternakan masing-masing dari kawasan Paya Mengkuang, Bukit Beruang, Man Lok dan Londang dekat Alor Gajah.
Kerajaan Melaka bersetuju untuk melanjutkan 13 hari lagi - sehingga 4 Oktober depan - tempoh bagi penternak babi membawa keluar ternakan masing-masing dari kawasan Paya Mengkuang, Bukit Beruang, Man Lok dan Londang dekat Alor Gajah.
Sebelum ini, kerajaan negeri memutuskan hanya sejumlah 48,000 ekor daripada 100,000 ekar babi dibenarkan diternak di Paya Mengkuang dan penternaknya diberi tempoh hingga esok untuk membawa keluar bakinya.
Manakala kesemua ladang ternakan babi di Man Lok, Bukit Beruang dan Londang akan ditutup, demikian menurut laporan Bernama.
Pada 4 September lalu, kerajaan negeri Melaka menangguhkan operasi memusnahkan lebihan ternakan babi di kawasan berkenaan, setelah penternak berjanji untuk mengurangkan sendiri jumlah ternakan itu kepada 48,000 ekor.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Abu Seman Yusop berkata keputusan untuk melanjutkan tempoh tersebut kerana usaha untuk membawa keluar 97,241 ekor dari kawasan berkenaan, belum mencapai sasaran.
Abu Seman yang juga pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Pengeluaran Babi dan anggota Parlimen Masjid Tanah berkata sejak 4 September lalu hingga semalam, penternak mengeluarkan hanya 23,824 ekor.
Bagaimanapun beliau enggan menyatakan di mana babi tersebut akan dihantar.
Tangguh operasi
Beliau berkata dalam tempoh lanjutan itu, penternak bersetuju untuk menutup kesemua ladang ternakan mereka di Man Lok, Bukit Beruang dan Londang.
"Selepas ini (4 Oktober) kita (kerajaan) akan memastikan hanya tinggal 48,000 ekor babi seperti mana dibenarkan iaitu di Paya Mengkuang sahaja," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pengeluaran Babi di Masjid Tanah.
Abu Seman berkata mengikut jadual penternak itu akan menutup lima kandang yang mengandungi 3,007 ekor babi di Man Lok esok.
Pada 30 September, sebanyak lima kandang mengandungi 12,230 ekor babi di Man Lok, Bukit Beruang dan Londang akan ditutup manakala pada 4 Oktober sebanyak 15 kandang mengandungi 22,576 ekor babi di Man Lok dan Bukit Beruang akan ditutup.
Beliau berkata pihak kerajaan akan membuat pemantauan dan mengesahkan bahawa kadang terbabit ditutup.
Tutup kandang
"Jika tindakan menutup ladang ini tidak dapat direalisasikan maknanya akibatnya ialah tindakan yang tidak boleh dimaafkan akan diambil oleh kerajaan," katanya.
Menurutnya, kandang babi di Paya Mengkuang yang dibina tidak mengikut peraturan dan mencemarkan alam sekitar serta bau busuk kepada penduduk sekitar, akan diambil tindakan.
"Bagi kandang kotor, tidak mengikut undang-undang, bermakna jabatan berkaitan boleh melaksanakan tindakan bila-bila masa selepas 21 September ini (esok), bentuk tindakan itu mengikut bidang kuasa jabatan berkaitan," katanya.
Abu Seman berkata MCA Melaka yang mewakili penternak perlu memastikan penternak melaksanakan janji mereka iaitu menutup ladang di Man Lok, Bukit Beruang dan Londang serta menternak hanya 48,000 ekor di Paya Mengkuang.
Kerajaan Melaka sebelum ini, memutuskan untuk mengurangkan jumlah ternakan itu berikutan pencemaran sungai dan udara akibat kegiatan berkenaan, selain bantahan penduduk yang tidak tahan lagi dengan bau busuk najis babi.
Nasihat Najib
Sementara itu, Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan penternak babi di kawasan terbabit supaya menunaikan komitmen mereka untuk memindahkan lebihan babi mengikut jadual.
Beliau berkata, dalam perbincangan beliau dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam semalam, kerajaan negeri bersetuju untuk mencari satu formula yang boleh membawa kepada pengurangan bilangan babi di ladang berkenaan.
Kerajaan negeri juga berjanji untuk bersikap fleksibel dalam hal itu, asalkan penternak menunaikan janji mereka, katanya.
"Kabinet meminta supaya isu ini diselesaikan dengan baik," katanya di Putrajaya hari ini.
"Kita fleksibel daripada segi dateline (tempoh) tetapi mereka mesti tunaikan komitmen mereka," katanya.

