Najib: K'jaan akan semak ketulenan pita Lingam
Kerajaan akan terlebih dahulu mengesahkan ketulenan klip video 'Datuk VK Lingam' sebelum memutuskan tindakan selanjutnya, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Kerajaan akan terlebih dahulu mengesahkan ketulenan klip video 'Datuk VK Lingam' sebelum memutuskan tindakan selanjutnya, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Katanya, apa yang penting ialah untuk menentukan kesahihan terlebih dahulu sebelum membuat kesimpulan.
"Saya sendiri belum melihat video itu tetapi apa yang penting ialah untuk menentukan kesahihan terlebih dahulu sebelum kita membuat kesimpulan.
"Seperti anda tahu dalam era teknologi moden, ia boleh disalahguna atau diubah suai. Jadi sebelum kita membuat sebarang kesimpulan, biar kita pastikan sama ada klip video itu ada asas atau sebaliknya," kata kepada pemberita hari ini.
Menurut Bernama, Najib diminta mengulas mengenai klip video tersebut sepanjang lapan minit, yang disiarkan media internet, malaysiakini Rabu lalu.
Anwar dedahkan
Klip video itu didedahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia menunjukkan peguam kanan, Datuk VK Lingam sedang bercakap melalui telefon, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Perbualan tersebut adalah mengenai usaha menentukan pelantikan rakan-rakan kanan 'yang sehaluan'.
Klip video itu yang dikatakan dirakam pada tahun 2002, turut mendedahkan perbincangan mengenai pelantikan Ahmad Fairuz sebagai ketua hakim negara, yang menjadi menjadi kenyataan pada tahun 2003.
Di samping klip video tersebut, Anwar juga mendedah rakaman audio di mana namanya turut disebut.
Najib berkata pihak berkuasa yang bertanggungjawab menyiasat dakwaan itu akan diputuskan selepas pengesahan kesahihan video itu.
Ditanya sama ada beliau sudah berbincang dengan Ketua Hakim Negara mengenai perkara itu, Najib menjawab: "Saya fikir anda tanya Ketua Hakim mengenai perkara ini."

