Peguam disebut dalam pita Lingam, tidak tahu menahu
Beberapa orang peguam - yang nama mereka turut disebut dalam klip video rakaman perbualan telefon peguam kanan, Datuk VK Lingam yang didakwa mengatur pelantikan hakim - memberitahu bahawa mereka tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut.
Beberapa orang peguam - yang nama mereka turut disebut dalam klip video rakaman perbualan telefon peguam kanan, Datuk VK Lingam yang didakwa mengatur pelantikan hakim - memberitahu bahawa mereka tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut.
Klip rakaman tersebut yang didedahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dua hari lalu, menunjukkan Lingam berbual melalui telefon, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim pada tahun 2002.
Kesimpulan daripada perbualan tersebut ialah beberapa "pemain utama" perlu dicalonkan untuk pelantikan hakim bagi mendengar kes-kes dan memberi penghakiman seperti yang dikehendaki.
Daripada perbualan tersebut, nampaknya sepucuk surat telah dihantar kepada Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Mohamad Dzaiddin Abdullah bersama senarai calon untuk dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi.
Antara nama dalam senarai tersebut, dua daripadanya - "Dr Andrew Chew" dan "Zainudin Ismail" - dikatakan telah ditolak oleh Dzaiddin.
Penulis dan peguam dari Sarawak, Dr Andrew Chew, ketika dihubungi malaysiakini semalam berkata, beliau tidak membaca berita itu sepenuhnya dan beliau tidak tahu yang namanya pernah disenaraikan untuk pelantikan sebagai hakim pada 2002.
"Saya tidak membacanya. Saya tidak tahu apa yang anda cakapkan. Saya tidak kenal VK Lingam," katanya.
Sementara itu, menurut Lingam dalam klip video tersebut, nama Zainudin Ismail telah digugurkan kerana beliau "mengkritik" pelantikan Ahmad Fairuz sebagai Hakim Besar Malaya dan pelantikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.
Zainudin yang memberitahu beliau pertamakali mendengar mengenai klip video tersebut dari seorang rakannya berkata, beliau belum melihatnya dan terperanjat dengan apa yang telah berlaku.
"Saya kenal mereka kerana Fairuz dan Mohtar adalah senior saya di universiti. Saya tidak fikir yang saya ketika itu kritikal terhadap mereka.
"Saya tidak kenal Lingam. Saya tidak tahu apa yang dikatakan (olehnya), tetapi jika ianya benar, maka saya amat sedih dengan keadaan yang berlaku," kata bekas Pengerusi jawatankuasa Majlis Peguam Kuala Lumpur.
Dilantik pada tarikh sama
Nama lain yang turut disebut dalam perbualan untuk dinaikkan pangkat ialah Datuk Heliliah Yusof, Datuk Ramly Ali and Datuk Ahmad Maarop yang semuanya kini adalah hakim Mahkamah Rayuan.
Mengkut laporan Tahunan Mahkamah Atasan dan Rendah 2004/2005, ketiga-tiga mereka telah dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada tarikh yang sama - 8 Februari 2002.
Klip video itu juga menunjukkan Lingam risau dengan tindakan Ketua Hakim Negara, Tun Dzaiddin yang akan bersara, melantik 'orang-orangnya' ke jawatan tinggi badan kehakiman.
Perbualan itu juga berkisar mengenai pentingnya Ahmd Fairuz - yang ketika itu Hakim Besar Malaya - dilantik seterusnya sebagai Presiden Mahkamah Persekutuan (No 2) dan kemudiannya sebagai Ketua Hakim Negara (No 1).
Terdapat juga rancangan untuk melantik bekas Peguam Negara, Mohtar untuk menggantikan Fairuz bagi jawatan Hakim Besar Malaysia (No 3).
Perbualan Lingam juga menyentuh jutawan Tan Sri Vincent Tan, sekutu rapat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu. Mereka dijadual menemui Dr Mahathir berhubung pelantikan hakim-hakim.
Lingam dan Raja Aziz tidak didapat dihubungi untuk mendapatkan komen mereka. Berita asal

