Rusuhan di KT: Seorang lagi imam akan pecat
Seorang lagi imam akan dipecat kerana terbabit dalam kejadian rusuhan di Jalan Mahmud di Kuala Terengganu pada 8 September lalu.
Seorang lagi imam akan dipecat kerana terbabit dalam kejadian rusuhan di Jalan Mahmud di Kuala Terengganu pada 8 September lalu.
Sebelum ini, kerajaan negeri memecat imam Kampung Kebun Air di Manir kerana terlibat dalam rusuhan itu.
Dalam rusuhan tersebut, tujuh orang, termasuk empat anggota polis cedera dan dua ahli PAS yang terkena tembakan polis.
Bernama memetik Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari dan Kebajikan Negeri, Datuk Rosol Wahid sebagai berkata pihaknya mempunyai bukti mengenai penglibatan imam dari sebuah kampung di Marang dalam kejadian itu.
Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Hal-Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengambil tindakan, termasuk menggantung bayaran elaun kepada imam terbabit sehingga siasatan kes itu selesai.
Imam diboikot
"Melalui rakaman video dan gambar, kita mempunyai bukti imam itu terbabit dalam kejadian rusuhan tersebut. Daripada maklumat yang diterima, imam tersebut kini diboikot oleh jemaah masjid di kampung berkenaan," katanya kepada pemberita hari ini.
Dalam kejadian itu, lebih 600 orang dipercayai penyokong pembangkang merusuh termasuk membakar Jalur Gemilang selepas polis mengarahkan mereka bersurai daripada menghadiri satu perhimpunan haram.
Rosol berkata penglibatan imam dalam kejadian itu amat mendukacitakan kerana mereka sepatutnya menjadi contoh serta membimbing jemaah ke arah kehidupan yang lebih baik.
Beliau juga berkata pihaknya mempunyai bukti mengenai penglibatan seorang pelajar Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) dalam rusuhan itu.
"Terpulang kepada pihak UDM untuk mengambil tindakan terhadap pelajar terbabit," katanya.

