Pilihanraya kampus bagi semua universiti awam di seluruh negara akan diadakan pada 2 Oktober depan.

Menurut lamanweb Universiti Sains Malaysia (USM), hari penamaan calon ditetapka pada 26 September. Ini bermakna calon-calon mempunyai enam hari untuk berkempen.

Ia merupakan tempoh berkempen yang paling lama sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Biasanya, calon-calonnya diberi tempoh berkempen tidak melebihi tiga hari.

Dipercayai keputusan untuk memanjangkan tempoh berkempen itu adalah hasil perbincangan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazri Abdul Aziz dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed.

Minggu lalu, Nazri memberitahu pemberita bahawa Mustapa bersetuju untuk membenarkan tempoh kempen antara enam hingga tujuh hari.

Sebelum ini, Nazri - selaku Pengerusi Kakus Parlimen bagi Hak Asasi Manusia - telah menerima aduan dari sekumpulan pelajar universiti yang mendakwa pilihanraya kampus tidak bebas dan tidak adil.

Pengumuman tarikh pilihanraya kampus itu disiarkan di lamanweb USM, tiga hari selepas 'sepucuk surat palsu' muncul di Universiti Malaya, yang mendakwa, tarikhnya ialah 27 September.

Undian melalui talian

Dalam satu lagi perkembangan, Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor, Prof Dr Dzulkifli Abdul Razak berkata, semua universiti boleh memilih sama ada menjalankan pengundian melalui talian (e-voting) atau mengguna peti undi.

"Bagi universiti yang memilih untuk mengadakan pengundian hanya di asrama, kolej kediaman dan bangunan fakulti, pihak universiti mesti menyediakan pusat-puisat pengundian yang sempurna, supaya pelajar luar kampus juga boleh mengundi," kata Dzulkifli dalam satu kenyataan.

Mengenai 'e-voting', ada kumpulan pelajar yang mendakwa kaedah tersebut tidak telus dan mudah berlaku penipuan.