Ketua hakim nafi berbual dengan Lingam
Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim telah menafikan yang beliau adalah orang yang berbual melalui telefon dengan peguam terkemuka, Datuk VK Lingam untuk mengatur pelantikan hakim-hakim.
Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim telah menafikan yang beliau adalah orang yang berbual melalui telefon dengan peguam terkemuka, Datuk VK Lingam untuk mengatur pelantikan hakim-hakim.
Ini dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz malam tadi, yang menyatakan Ahmad Fairuz telah menghubunginya untuk membuat penafian tersebut.
Nazri bagaimanapun tidak menyatakan bila Ahmad Fairuz menghubunginya untuk membuat penafian tersebut.
"Hakim itu telah menghubungi saya dan beliau menafikan dia yang berbual dalam rakaman itu," katanya dalam laporan Bernama selepas majlis penyerahan zakat dan berbuka puasa di Masjid Taman Kuala Kangsar malam tadi.
Ahmad Fairuz sebelum ini memberitahu malaysiakini bahawa beliau tiada sebarang komen mengenai perkara tersebut.
Nazri yang memegang potfolio undang-undang berkata perkara utama berhubung isu itu pada peringkat ini ialah siasatan bagi membuktikan kesahihan klip video berkenaan.
"(berdasarkan klip video) kita hanya lihat seorang sahaja yang bercakap...siapa di sebelah sana kita tidak tahu dan dia (hakim yang didakwa berbual dengan peguam itu) telah menafikan," katanya.
Polis mula siasatan
Siasatan sedang dijalankan bagi membuktikan kesahihan rakaman itu terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan boleh diambil, katanya.
Polis telah memulakan siasatan untuk menentukan ketulenan klip video tersebut yang dirakamkan pada tahun 2002, sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
Mohamed Nazri turut mempertikaikan niat pihak yang membuat pendedahan rakaman video berkenaan kerana mendedahkannya kepada media terlebih dahulu sebelum menyerahkan kepada polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk menyiasat.
"Kalau hendak tegak keadilan atau mahu membersihkan badan kehakiman, siasatan boleh dibuat oleh BPR dan polis. Kenapa kepada media?... Boleh dipertikai niatnya, kerana politik atau mahu badan kehakiman bersih," katanya.
Beliau juga memberi amaran bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang mengambil tindakan yang boleh menghakiskan keyakinan masyarakat terhadap badan kehakiman.
Klip video tersebut menunjukkan Lingam membincangkan pelantikan Ahmad Fairuz sebagai presiden Mahkamah Rayuan dan kemudiannya dilantik sebagai Ketua Hakim Negara serta pelantikan beberapa hakim lain.
Walaupun hanya Lingam dapat dilihat bercakap dalam klip video tersebut, bagaimanapun kontek perbualan tersebut membayangkan orang yang bercakap dengan peguam itu adalah Ahmad Fairuz.
Semalam, Majlis Peguam, dalam mesyuarat tergemparnya, menggesa supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat perkara tersebut.
Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan memandang serius isu klip video itu dan polis akan menyiasat bagi memastikan kesahihannya sebelum tindakan diambil.

