Dr Mahathir jalani pembedahan bersih luka
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sedang menjalani rawatan pemulihan daripada pembedahan pintasan jantung, menjalani pembedahan malam tadi untuk membersihkan luka akibat jangkitan kuman.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sedang menjalani rawatan pemulihan daripada pembedahan pintasan jantung, menjalani pembedahan malam tadi untuk membersihkan luka akibat jangkitan kuman.
Menurut kenyataan Institut Jantung Negara (IJN) hari ini, pembedahan itu dilakukan pada jam 11.30 malam dan berakhir 2.30 pagi.
Prosedur itu dilakukan oleh pasukan pembedahan yang diketuai Tan Sri Dr Yahya Awang, pasukan yang sama melakukan pembedahan pintasan jantung ke atas Dr Mahathir di IJN pada 4 September.
Menurut laporan Bernama, kenyataan itu menyatakan, Dr Mahathir kini berada dalam keadaan stabil dan menggunakan alat sokongan rutin selepas pembedahan.
Beliau dijangka akan terus menggunakan alat sokongan sekurang-kurangnya 36 jam bagi penjagaan selepas pembedahan dan akan dipantau rapi oleh para doktor dan jururawat IJN di Unit Penjagaan Rapi (ICU).
Tempoh penting
Tempoh 72 jam akan datang merupakan tempoh paling penting bagi penjagaan selepas pembedahan, menurut kenyataan itu.
Pembedahan debridemen ialah proses membersihkan luka yang terdedah dengan membuang bahan-bahan asing dan tisu mati supaya penyembuhan boleh berlaku tanpa gangguan.
Dr Mahahir, 81, yang menjalani pembedahan jantung kedua pada 4 September lalu di institut itu, dipindahkan semula ke wad ICU 10 hari kemudian.
Beliau dipindahkan ke wad biasa Wad Bunga Raya pada 12 September.
Beliau menjalani pembedahan pintasan jantung buat pertama kalinya di Hospital Kuala Lumpur pada 24 Januari1989 akibat serangan sakit jantung.

