Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shafee Abdullah jadi peguam pemberi maklumat kes ‘skandal’ Sabah

Peguam veteran, Muhammad Shafee Abdullah,  menawarkan diri untuk mewakili seorang pemberi maklumat yang mendakwa memiliki bukti rasuah membabitkan beberapa wakil rakyat daripada kerajaan gabungan Gagasan Rakyat Sabah (GRS). 

Kes berkenaan melibatkan dakwaan bahawa ahli politik  tersebut menerima sogokan untuk menyokong permohonan pemberi maklumat berkenaan bagi mendapatkan lesen penerokaan mineral.

Muhammad Shafee Abdullah

Shafee, yang bersetuju untuk mewakili kes ini secara pro bono (percuma), menekankan bahawa tindakannya itu bertujuan untuk mewujudkan satu preseden (penduluan) untuk pemberi maklumat pada masa akan datang. 

Katanya, bahawa minatnya terhadap perkara ini tidak ada kaitan dengan politik, tetapi lebih kepada memastikan saluran untuk pemberi maklumat kekal terbuka dan mereka tidak diganggu atau ditakut-takutkan untuk tampil ke hadapan.

“Ini adalah sebab saya memilih untuk mewakili pemberi maklumat itu secara pro bono.

“Kes itu menarik minat saya. Saluran mesti disediakan untuk pemberi maklumat. Mereka tidak seharusnya dikecewakan,” katanya kepada Malaysiakini.

Shafee turut menyentuh mengenai dakwaan yang pernah disuarakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pimpinan Pakatan Harapan, yang sebelum ini mengatakan bahawa agensi seperti SPRM boleh digunakan untuk tujuan agenda politik. 

“Mereka sepatutnya bersimpati dengan anak guam saya yang berani tampil dengan bukti jenayah melibatkan wakil rakyat,” katanya.

Peguam itu juga merujuk kepada Seksyen 202 Kanun Keseksaan, yang menyatakan bahawa adalah suatu suatu kesalahan jika dengan sengaja tidak melaporkannya.

“Jadi di sini ada seorang individu yang memiliki bukti jenayah yang melibatkan wakil rakyat. Dia bersedia untuk tampil ke hadapan dan memberi keterangan di mahkamah. 

“Namun, mesej yang diterimanya adalah supaya tidak berbuat demikian,” kata peguam itu.

Seksyen 202 Kanun Keseksaan menyatakan:

“Barang siapa, yang ketahui atau yang ada sebab mempercayai bahawa sesuatu kesalahan telah dilakukan, dengan sengaja meninggalkan daripada memberi apa-apa maklumat mengenai kesalahan itu yang ia terpaksa di sisi undang-undang memberi, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai enam bulan, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.”

Anwar sebelum ini berkata bahawa kerajaan tidak akan melindungi mereka yang terlibat dalam amalan rasuah, ketika spekulasi mendakwa bahawa tiada tindakan akan diambil kerana GRS dianggap sebagai aset politik yang bernilai.

Pemberi maklumat itu mendakwa dia memiliki lapan klip video yang memaparkan beberapa Adun berlainan, dengan tujuh daripada mereka didakwa menerima sogokan untuk menyokong permohonannya bagi mendapatkan lesen penerokaan mineral.

Selain itu, juga mempunyai dokumen, butiran perbankan, dan tangkapan skrin mesej WhatsApp sebagai bukti. Walau bagaimanapun, dia memohon perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 serta jaminan bertulis bahawa dirinya tidak akan dikenakan tindakan undang-undang.

Malaysiakini telah melihat semua video tersebut dan menerbitkan satu video versi penuh dan dua versi yang disunting.

Versi yang disunting menampilkan Timbalan Ketua Menteri Shahelmey Yahya dan Adun Tempasuk Mohd Arsad Bistari.

Versi penuh pula membabitkan rakaman perbincangan antara pemberi maklumat dengan Adun Kemabong Rubin Balang.

Pemberi maklumat itu berkata dia tidak menawarkan sebarang rasuah kepada Rubin tetapi telah berunding dengannya untuk menggunakan firma milik anak-anaknya untuk mendapatkan lesen penerokaan mineral.

Malaysiakini turut menyiarkan video bekas ketua pegawai eksekutif Pengurusan Mineral Sabah (SMM), Jontih Enggihon yang menuduh ketua menteri, yang merupakan pengerusi entiti milik kerajaan itu, menyalahgunakan kuasanya.

Hajiji mendakwa bahawa video itu adalah sebahagian daripada skim bertujuan mencemarkan imejnya serta kerajaan negeri, sedangkan laporan SPRM telah dibuat terhadap Jontih kerana didakwa bersubahat dengan pemberi maklumat itu mengenai lesen perlombongan.

Jontih Enggihon

Jontih menafikan dakwaan itu dan telah memfailkan laporan balas terhadap Hajiji.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS