Najib: Umno perlu pertahan Lembah Klang
Kawasan Lembah Klang yang terletak di Selangor adalah penting dan perlu dipertahankan oleh Umno yang merupakan teras pemerintahan negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kawasan Lembah Klang yang terletak di Selangor adalah penting dan perlu dipertahankan oleh Umno yang merupakan teras pemerintahan negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Kawasan Lembah Klang penting bagi negara kita. Di sinilah terdapatnya segalanya kitaran ekonomi, kitaran politik dan golongan cerdik pandai," kata beliau yang juga Timbalan Presiden Umno.
Sehubungan itu, beliau yakin Umno Selangor berupaya mengekalkan semua kerusi yang mereka menangi pada 2004 dalam pilihanraya akan datang, demikian menurut laporan Bernama.
"Semangat Umno Selangor memang kuat, memang kita banggakan," kata beliau yang juga timbalan presiden Umno di majlis berbuka puasa bersama Badan Perhubungan Umno Selangor di Shah Alam, malam tadi.
Najib berkata, beliau dan pemimpin Umno Selangor telah sama-sama berhempas pulas dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Ijok April lalu dan "telah diuji tetapi lulus dengan cemerlang".
Barisan Nasional memenangi kerusi tersebut menewaskan calon Keadilan.
Bantu Selangor
Najib berkata, beliau yakin dengan jaminan yang diberikan oleh Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang juga Menteri Besar Selangor bahawa Umno Selangor akan dapat mempertahankan kerusi yang dimenangi mereka.
Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa khas kabinet untuk pengangkutan awam berkata beliau akan memajukan prasarana penting kepada rakyat di Selangor.
"Kita ingin lihat Selangor maju dan terus maju," katanya sebagai menjawab permintaan Dr Mohamad Khir sebelum itu supaya kerajaan persekutuan membantu Selangor dalam meningkatkan kemudahan pengangkutan awam.
Dr Mohamad Khir pula berkata Umno Selangor akan mengadakan satu pilihanraya percubaan Disember ini untuk menguji persediaan jentera Umno negeri.
Beliau berkata jentera pilihanraya Umno dari peringkat bahagian sedang menjalani latihan.
"Kita baru selesai peringkat pertama latihan, kita sedang dalam peringkat kedua," katanya.
Turut hadir di majlis itu ialah Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

