Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin syor tubuh sebuah badan seperti Dong Zong untuk Bumiputera

AGM BERSATU | Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mencadangkan penubuhan sebuah badan yang memayungi NGO Melayu-Bumiputera, seperti mana Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang ditubuhkan untuk memperjuangkan hak masyarakat Cina.

Pengerusi PN itu berkata badan berkenaan akan memastikan struktur kepimpinan yang lebih jelas dalam usaha memperjuangkan kepentingan kaum Melayu Bumiputera di negara ini.

"Saya tadi anjurkan sebagai satu langkah supaya semua badan-badan bukan kerajaan di kalangan Melayu dan Bumiputra diletakkan di bawah satu payung. Saya ambil contoh, masyarakat Tionghua walaupun ada pelbagai kumpulan, ia telah bentuk Dong Zhong. It's an umbrella body.

"Kepentingannya sama dari segi ekonomi, sosial, agama, pendidikan supaya dengan cara itu apa yang kita perjuangkan tu agak lebih berkesan di bawah satu bumbung berstruktur di mana ikut Akta Pertubuhan berdaftar dan ada struktur kepimpinan.

"Yang ni bukan secara adhoc atau sementara," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Bersatu di IDCC Shah Alam hari ini.

Cadangan itu ditimbulkan Muhyiddin selepas dilaporkan bahawa beberapa NGO berasaskan Melayu sedang mempertimbangkan untuk menyertai Bersatu bagi memperkukuhkan parti itu menjelang pilihan raya umum akan datang.

Sumber memberitahu portal berita Free Malaysia Today bahawa perbincangan sedang dijalankan untuk menentukan peranan mereka dalam parti itu.

Sementara itu Muhyiddin berkata Bersatu akan mengadakan sidang meja bulat yang dinamakan Gagasan Pendamaian Nasional dalam usaha ‘memperbetulkan kembali keadaan negara’.

“Bersatu yakin dengan kekuatan baharu ini, kita dapat membina semula Malaysia yang gagah, bermaruah dan dapat bersaing dengan negara-negara serantau dan global,” katanya.

Jelasnya, sidang meja bulat itu akan disertai aktivis masyarakat, tokoh pelbagai agama, penggiat seni dan budaya, pakar ekonomi untuk mencari titik pertemuan bagi merangka penyelesaian demi kelestarian dan kesejahteraan rakyat.

Bukan Melayu masih ragu-ragu

Dalam pada itu Muhyiddin turut mengakui parti itu masih berdepan cabaran dalam meraih sokongan daripada masyarakat bukan Melayu.

"Saya akui bahawa masyarakat bukan Melayu masih ragu-ragu untuk menyokong Bersatu.

"Dalam siri pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri baru-baru ini, kemenangan Bersatu dan Perikatan Nasional disumbangkan sebahagian besarnya oleh sokongan padu pengundi Melayu dan Bumiputera. Ada sokongan bukan Melayu, tetapi masih perlu ditingkatkan lagi,” jelasnya.

Katanya, sebagai sebuah parti yang mendukug semangat nasionalisme baru untuk Malaysia, Bersatu tidak hanya boleh bergantung kepada sokongan orang Melayu dan Bumiputera untuk membentuk kerajaan.

"Kerajaan yang akan dibentuk oleh Bersatu dan Perikatan Nasional ialah sebuah kerajaan berbilang kaum.

"Untuk itu, kepada rakyat Malaysia dalam kalangan orang Cina, India, Sikh dan lain-lain saya ingin memberi jaminan.

"Jangan bimbang. Hak anda seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan akan terus dipertahankan. Kebajikan anda sebagai rakyat Malaysia akan terus dibela.

“Lihat track record kami semasa menjadi kerajaan. Tidak ada seurat benang pun hak kaum bukan Melayu dirampas atau diketepikan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS