Memorandum mengenai rusuhan di Kuala Terengganu pada 8 September lalu yang menyebabkan tujuh kecederaan, akan dihantar kepada Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa (PBB) di New York.

Penasihat Keselamatan PBB untuk Malaysia, Singapura dan Brunei, Gunnar Mattsson-Marn berkata, pihaknya akan meneliti memorandum tersebut sebelum dihantar kepada Setiausaha Agung PBB, Ba Ki-moon.

Sebelum itu, beliau menerima memorandum tersebut dari Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub di Wisma UN di ibu negara hari ini.

Dalam majlis ringkas itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut memberi penerangan kepada Gunnar mengenai insiden tersebut.

Beliau meminta Gunnar memanjangkan insiden tersebut kepada Majlis Keselamatan PBB kerana mendakwa tindakan pihak polis sangat serius.

"Anda tahu keadaan di Malaysia sekarang. Perlembagaan membenarkan hak berkumpul dan bersuara tetapi pihak polis bertindak keras ke atas rakyat," katanya.

Hak asasi

Tujuh orang tercedera dalam insiden tersebut, termasuk empat anggota polis dan dua ahli PAS yang terkena tembakan seorang anggota polis.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis tersebut, Salahuddin berkata, PAS akan menemui Sekretariat Asean di Jakata dan kumpulan hak asasi di Hong Kong

Beliau berkata, pihaknya mengambil inisiatif tersebut kerana tidak mahu tragedi berulang di negara ini, khususnya tindakan polis menembak menggunakan peluru hidup.

"Saya tidak mengajar Pemuda PAS membakar bendera (Malaysia) dan kami akan mengambil tindakan tegas jika ada ahli PAS yang melakukannya," katanya.

Salahuddin juga kecewa sehingga hari ini polis masih gagal menangkap orang yang membakar bendera walaupun hanya satu gambar sahaja yang dikeluarkan.

Katanya, pihak polis boleh menggunakan jabatan forensik untuk mengesan kesahihan gambar itu berikutan hanya satu gambar yang digunakan.

Malah, tambahnya, PAS Terengganu telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengesan insiden membakar bendera tersebut.

Dalam memorandum tersebut, Pemuda PAS memohon PBB mengambil tindakan berikut:

Meminta Majlis Keselamatan PBB membincang insiden tersebut.

Meminta Majlis Keselamatan PBB, melalui satu resolusi keselamatan, untuk menjaga kepentingan hak asasi manusia.

Meminta PBB memberi amaran keras terhadap penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa berkenaan.