PAC tidak panggil Chan jawab isu PKFZ
Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) akan menyoal pegawai tinggi Kementerian Pengangkutan, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, dan Jabatan Ketua Audit Negara berhubung skandal yang membabitkan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) akan menyoal pegawai tinggi Kementerian Pengangkutan, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, dan Jabatan Ketua Audit Negara berhubung skandal yang membabitkan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Datuk Chan Kong Choy tidak dipanggil, walaupun beliau adalah antara orang utama dalam projek pembangunan RM4.6 bilion itu.
Kementeriannya diwakili oleh Ketua Setiausahanya, Datuk Zakaria Bahari bersama Ketua Pengarah Jabatan Penilaian, Abdullah Thalith Md Thani dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Zarinah Anwar.
Manakala Ketua Audit Negara, Datuk Ambrin Buang, akan menemui PAC pada hari Rabu.
Pertemuan tersebut adalah sambungan kepada perjumpaan dua minggu lalu di mana PAC telah menemui pegawai kanan PKFZ Sdn Bhd dan pemiliknya, Lembaga Pelabuhan Klang (PKA).
Timbalan Pengerusi PAC, Tan Seng Giaw berkata pegawai tertinggi akan menugaskan timbalan masing-masing, jika mereka tidak dapat hadir, untuk menjawab soalan PAC.
Mengenai ketidakhadiran Chan, Tan berkata, ia boleh difahami memandangkan jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh anggota kerajaan.
Peningkatan kos
"Inilah sebab mengapa badan seperti PAC sepatutnya dipengerusikam oleh seorang yang bebas dari kerajaan," kata Tan, yang juga timbalan pengerusi parti pembangkang DAP.
Pengerusi PAC ialah Ahli Parlimen Johor Bahru, yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Shahrir Samad.
PKFZ dan PKA dilanda kontroversi selepas timbul laporan mengenai pembelian tanah yang dipersoalkan, peningkatan kos kepada RM2.3 bilion dan berlaku percanggahan kepentingan.
Peranan Chan dalam hal tersebut, telah dipersoalkan, antara lain, kementeriannya - atas nasihat pegawai kanan PKA telah mengeluarkan surat sokongan bagi penerbitan bon untuk mengumpul dana bagi pembangunan PKFZ.
Ekoran pengeluaran surat tersebut, agensi rating telah mengeluarkan rating 'AAA' bagi bon tersebut, meletakkan kedudukannya setaraf dengan bon yang dijamin oleh kerajaan. Bon yang dijamin oleh kerajaan hanya dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.
Ianya dikatakan sedang dalam siasatan jawatankuasa khas yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Chan juga dikatakan telah mendesak Menteri Kewangan, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya melantik konsultan yang berpejabat di Damansara sebagai juruukur kuantiti bebas PKFZ (IQS) walaupun Kementerian Kewangan telahpun menolak pelantikan konsultan yang sama.
Konsultan tersebut yang sebelum pernah digunakan khidmatnya oleh Kuala Dimensi Sdn Bhd, sebuah firma pelaburan dan pemaju hartanah bagi pembelian dan pembangunan PKFZ akhirnya dilantik sebagai IQS bagi PKFZ.
Pegawai lain boleh jawab
Ketika dihubungi, Shahrir berkata, Chan tidak diperlukan untuk menjawab sendiri soalan PAC kerana pegawai lain dari kementeriannya juga boleh berbuat demikian.
"Kita hanya meminta menteri hadir jika yang lainnya tidak dapat menjawabnya," kata Shahrir.
Shahrir juga berkata tidak perlu untuk memanggil pengurus kewangan PKA kerana pegawai kewangan yang lain telahpun menjawab soalan PAC mengenai PKFZ dalam pertemuan minggu lalu.
Mengenai dakwaan bahawa pengurus kewangan tersebut telah "dipinggirkan" kerana beliau telah mempersoalkan penyelewengan dalam projek PKFZ, Shahrir berkata, beliau akan menyiasat perkara jika ia merasakan perlu berbuat demikian. Berita asal

