Dr Muszaphar jadi angkasawan pertama M'sia
Dr Sheikh Muszaphar Shukor akan menjadi angkasawan pertama Malaysia yang akan berlepas ke stesen angkasa antarabangsa (ISS) dengan kapal angkasa Russia Soyuz pada 10 Oktober depan, demikian disahkan oleh kerajaan hari ini.
Dr Sheikh Muszaphar Shukor akan menjadi angkasawan pertama Malaysia yang akan berlepas ke stesen angkasa antarabangsa (ISS) dengan kapal angkasa Russia Soyuz pada 10 Oktober depan, demikian disahkan oleh kerajaan hari ini.
"Bagi pihak kerajaan dan semua rakyat Malaysia, saya berdoa agar misi ini akan berjaya seperti yang dirancangkan," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang secara rasmi mengesahkan pemilihan Sheikh Muszaphar, 35.
Muszaphar akan berlepas ke stesen angkasa antarabangsa itu bersama angkasawan Russia, Yury Malenchenko dan Peggy Whitson dari Amerika Syarikat.
Sheikh Muszaphar dan seorang lagi calon angkasawan Malaysia, Dr Faiz Khaleed, 27, telah menjalani latihan di Russia apabila negara itu bersetuju menghantar seorang rakyat Malaysia ke ISS sebagai sebahagian daripada pembelian 18 jet pejuang Sukhoi 30-MKM bernilai RM3.4 bilion buatan Russia oleh Malaysia.
Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz dipilih daripada sejumlah 11,275 calon sejak Agensi Angkasa Negara Malaysia (Angkasa) memulakan kempen saringan untuk program itu pada 2003.
Mereka berdua yang masih bujang, menjalani latihan 12 bulan di Yuri Gagarin Aerospace Training Centre di Star City di Moscow.
Abdullah berkata, Muszaphar dan Faiz akan berlepas ke tapak pelancaran di Baikonur, Kazakhstan, untuk latihan terakhir sebelum tarikh pelancaran pada 10 Oktober ini, yang akan disiarkan secara langsung ke Malaysia.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Jamaludin Jarjis berkata Muszaphar hanya perlu bersembahyang tiga kali sehari, bukan lima kali seperti amalan biasa, dan dia juga boleh menggantikan puasanya kemudian.
"Anda boleh menggantikan puasa kemudian. Biasanya, jika dalam perjalanan anda boleh menggantikan puasa," katanya kepada pemberita.
"Dalam Islam, jika anda dalam misi seumpama itu, anda boleh melakukannya kemudian. Saya serahkan kepadanya untuk memutuskannya," katanya.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menerbitkan buku panduan 20 mukasurat mengenainya panduan beribadat di angkasa, awal tahun ini.
AFP

