Sokongan pengundi kepada Barisan Nasional (BN) Melaka dijangka tidak berkurangan walaupun ada parti politik tertentu akan menggunakan isu ternakan babi dalam pilihanraya umum akan datang, kata beberapa pemimpin Umno Melaka.

Ketua Umno bahagian Tangga Batu, Datuk Yaakub Md Karim berkata, isu babi digunakan dalam setiap kali pilihanraya tetapi pengundi di Melaka tetap menyokong BN.

"Walaupun isu ini dijangka digunakan lagi dalam pilihanraya umum akan datang, ia dijangka tidak memberi kesan kepada kepada BN negeri.

"Orang Melayu akan tetap mengundi Umno, manakala pengundi Cina terus memberi sokongan kepada parti komponen BN yang mewakili kaum mereka" kata beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, Yaakub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tangga Batu enggan menamakan parti politik yang menggunakan isu ternakan babi dalam setiap kali pilihanraya di negeri itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas adakah tindakan kerajaan negeri mengurangkan jumlah ternakan babi di negeri itu yang menurut sesetengah pihak boleh memberi kesan kepada BN dalam pilihanraya umum akan datang.

Baru-baru ini Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengumumkan untuk menutup sebahagian ladang babi di Paya Mengkuang dan Kampung Man Lok bagi mengurangkan jumlah ternakan itu kepada 48,000 ekor sahaja berbanding kira-kira 120,000 sekarang.

'Bukan isu politik'

Yaakub berkata, walaupun pilihanraya umum semakin hampir, kerajaan negeri terpaksa mengurangkan ternakan babi demi kepentingan penduduk secara keseluruhannya, terutama orang Melayu.

Katanya, orang Melayu sudah lama bersabar dengan isu ternakan babi, tetapi ianya tidak pernah dipedulikan oleh pemimpin parti politik bukan Melayu berkenaan.

"Kita bukan memusuhi penternak kerana yang untung dari indusrti tersebut adalah tauke-tauke mereka," katanya.

Yaakub berkata, atas kepentingan politik juga menyebabkan isu ternakan babi sukar diselesaikan walaupun kerajaan negeri berusaha sejak sekian lama.

Sementara itu, Ketua Umno bahagian Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah berkata, pengundi Cina secara keseluruhannya menyokong tindakan kerajaan negeri mengurangkan jumlah ternakan babi di Melaka.

Sehubungan itu, Adun Serkam itu berkata, ia bukannya satu isu politik, tetapi sebaliknya untuk kepentingan orang ramai, terutama di kawasan berhampiran ladang babi.

Timbalan Ketua Umno bahagian Masjid Tanah yang juga Adun Tanjung Bidara, Datuk Abdul Karim Sulaiman pula berkata, parti pembangkang termasuk parti yang majoriti ahlinya terdiri dari orang Melayu, telah cuba memainkan isu tersebut untuk kepentingan mereka tetapi tidak berjaya.

Katanya, rakyat faham bahawa tindakan kerajaan negeri menghadkan ternakan babi adalah untuk kepentingan awam bagi menangani masalah pencemaran air dan bau.