Seorang anggota polis berpangkat Superintendan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor di Johor Bahru hari ini atas tiga pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan lebih RM1.2 juta.

Seorang anggota polis berpangkat Superintendan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor di Johor Bahru di sini hari ini

terhadap tiga pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan lebih RM1.2 juta.

Supt Azmi Osman, 52, dituduh menerima wang hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram sebanyak RM71,870.70 melalui akaun semasanya di

Malayan Banking Berhad di Lot M1-22, Aras 3, Johor Baharu City Square, 106-108 Jalan Wong Ah Fook, pada 19 Ogos 2003.

Pegawai polis itu juga dituduh menerima wang hasil daripada aktiviti haram itu sebanyak RM941,930 melalui akaun yang sama dan di tempat yang

sama pada 13 Jan dan 17 November 2004.

Bagi pertuduhan ketiga, dia dituduh menerima wang hasil daripada aktivit haram itu sebanyak RM250,000 melalui akaun yang sama di tempat yang

sama pada 5 April 2005.

Supt Azmi mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan tersebut, demikian menurut laporan Bernama.

Azmi yang kini bertugas di ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman, Kuala Lumpur dituduh mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan

Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya jika sabit

kesalahan.

Dua lagi pertuduhan

Azmi dituduh melakukan perbuatan itu ketika bertugas di Cawangan Anti-Perjudian dan Pencegahan Maksiat di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru.

Hakim Mahkamah Sesyen Hakim Zanol Rashid Hussain menetapkan 31 Oktpber bagi sebutan semula kes dan membenarkan Azmi yang juga bapa kepada lima anak diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin.

Zanol juga mengarahkan Azmi yang memakai kemeja putih berpetak dan kelihatan tenang semasa pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah, menyerahkan dokumen perjalanannya kepada mahkamah sebagai syarat ikat jamin itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Zulkifli Ahmad memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM200,000 bagi setiap pertuduhan terhadap pegawai polis itu yang mempunyai alamat terakhir di Shah Alam.

Bagaimanapun, peguambela Azmi, C N Sridharan memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya perlu menyara lima anak yang masih bersekolah dan hanya bergantung kepada gaji bulanan apabila semua harta alih dan tidak alihnya disita apabila disiasat mengikut Akta Pencegahan Rasuah dua tahun lalu yang berkuatkuasa sehingga kini.

Tindakan penyitaan tersebut menurut peguambela itu, juga telah menyebabkan pengajian tertuduh di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan Sarjana Kepolisan terganggu dan beliau juga disisihkan oleh rakan dan kenalan.

Katanya, anak guamnya itu telah mendapat sakit jantung dan dimasukkan ke hospital untuk rawatan pada 19 September lalu serta diberikan surat cuti sakit selama seminggu sehingga 28 September.

Sementara itu, mahkamah juga diberitahu bahawa Azmi akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Temerloh, Pahang untuk dua lagi pertuduhan esok.