Sebuah suruhanjaya diraja sepatutnya ditubuhkan untuk menyiasat skandal pita Lingam kerana ia mempunyai kuasa perundangan untuk berbuat demikian, kata Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, suruhanjaya diraja yang dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 mempunyai kuasa untuk memanggil saksi, mewajibkan kehadiran dan menyediakan imuniti kepada para saksi bagi memastikan keberkesanan siasatan yang dijalan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, itu saja caranya untuk memastikan siasatan dijalankan secara berkesan bebas dan tanpa sebarang rasa takut.

Sebaliknya, kata beliau, penubuhan sebuah panel bebas tidak mencukup kerana ia tidak mempunyai kuasa perundangan untuk menjalankan siasatan secara berkesan.

"Tidak boleh mengharapkan sebuah panel yang ditubuhkan oleh kabinet untuk menjalankan siasatan yang sempurna dan bebas berhubung klip video yang mengaitkan Tun Ahmad Fairuz," katanya.

Wan Azizah mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung keputusan kerajaan untuk menubuhkan sebuah panel bebas untuk menyiasat dan menentukan ketulenan klip video Datuk VK Lingam itu.

'Goncang badan kehakiman'

Klip video selama lapan minit itu menunjukkan Lingam, seorang peguam kanan, sedang berbual melalui telefon, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim untuk mengatur pelantikan hakim.

Najib berkata, bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor akan mengetuai panel bebas tiga anggota itu,

Dua lagi anggota panel tersebut ialah Pengerusi Majlis Khidmat Negara, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar. Kedua-duanya adalah bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Menurut Wan Azizah lagi, sebelum ini sebuah suruhanjaya diraja telah ditubuhkan untuk menyiasat skandal seorang wanita yang dipaksa ketuk ketampi dalam keadaan bogel ketika dalam tahanan polis.

"Sudah tentulah perkara yang sama mesti dilakukan untuk menyiasat sebuah skandal yang telah mengoncang badan kehakiman Malaysia hingga ke akar umbinya," tambah beliau.

Oleh itu, katanya, sebuah suruhanjaya diraja yang bertanggungjawab terus kepada Yang di-Pertuan Agong mesti ditubuhkan segera bagi menyiasat kes tersebut.