Selama tiga penggal, sejak 1978, Datuk Shahrir Abdul Samad menjadi ahli Parlimen Johor Bahru atas tiket Umno. Tetapi pada bulan Julai 1988, beliau meletakkan jawatanya kerana tidak sehaluan dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan memaksa pilihanraya kecil pada bulan Ogos berikutnya. Shahrir, yang bertanding sebagai calon bebas, berjaya mengekalkan kerusi tersebut dengan majoriti besar - 12,613 undi.

Sewaktu majlis mengangkat sumpah diadakan di Parlimen, Shahrir memeranjatkan para hadirin apabila beliau enggan mengangkat sumpah di depan Speaker Dewan Rakyat, Tun Mohamed Zahir Ismail. Shahrir kemudiannya diarahkan meninggalkan bangunan Parlimen.

Enam belas hari kemudiannya, Shahrir kembali semula dan mengangkat sumpah di hadapan Zahir bagi membolehkan beliau mengekalkan kerusi tersebut dan menjalankan tugasnya sebagai seorang ahli Parlimen.

Keengganan untuk mengangkat sumpah sebelum itu adalah sebagai pernyataan pendiriannya terhadap integriti badan kehakiman, katanya ketika ditemubual minggu lalu di pejabatnya di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Zahir, bekas hakim Mahkamah Tinggi, adalah salah seorang anggota tribunal seramai enam orang panel yang mendapati Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Salleh Abas (kanan) bersalah atas tuduhan salahlaku dan memperakukan pemecatannya.

"Saya tidak fikir ianya satu tindakan yang betul (untuk memecat Salleh)," kata Shahrir, yang usianya kini sudah mencecah 57 tahun.

"Untuk melakukannya (mencabar Salleh) tanpa mempunyai alasan-alasan yang kuat untuk berbuat demikian, adalah satu kegagalan sistem - kerana sekali anda merosakkannya, bukan mudah untuk memperbetulkannya semula..."

Pada 1988, Salleh disiasat oleh sebuah tribunal khs atas tuduhan salahlaku kerana mempertikaikan pindaan perlembagaan yang menghakis kuasa badan kehakiman.

Dua daripada lima hakim Mahkamah Agung (kini dikenali sebagai Mahkamah Persekutuan) - Datuk George Seah dan Datuk Wan Sulaiman Pawanteh - yang memutuskan bahawa tribunal itu bercanggah dengan perlembagaan, turut dipecat bersama Salleh selepas didapati bersalah oleh tribunal tersebut atas tuduhan salahlaku.

Pulang kepada Umno

Tindakan Shahrir itu, bagi setengah pihak, adalah sesuatu yang boleh dijangkakan dari seorang yang dianggap 'maverick' yang sentiasa berterus terang.

Selepas mendapat ijazah dalam bidang ekonomi dan statistik, Shahrir meneruskan pengajiannya di peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan. Dari 1983-1987, beliau menjadi Menteri Wilayah Persekutuan dan Menteri Kebajikan Masyarakat dan pada umumnya dianggap berpotensi dalam politik Umno.

Tetapi tahun 1987 menyaksikan krisis kepimpinan yang serius dalam Umno sehingga muncul dua puak - Team A and B - yang akhirnya mengakibat Umno diisytiharkan haram oleh mahkamah.

Shahrir - seorang ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno ketika itu, bersama Team B pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah (photo).

Di tengah-tengah krisis tersebut, Shahrir meletakkan jawatannya sebagai ahli Parlimen Johor Bahru, dan bertanding sebagai calon bebas dalam pilihanraya kecil yang diadakan.

Shahrir pulang ke pangkuan Umno pada 1989 dan mengekalkan kerusi Parlimen Johor Bahru dalam pilihanraya umum 2004.

Jadi, apakah telah berlaku perubahan dalam badan kehakiman, dua dekad selepas Shahrir mengadakan protes solo di Parlimen?

Shahrir berkata, beliau percaya akibat daripada krisis kehakiman pada 1988 masih dirasai sehingga hari ini, hingga ke tahap di mana orang sudah boleh membuat telahan mengenai keputusan kes-kes mahkamah.

Sehubungan itu, Shahrir berkata, sesuatu harus dilakukan dan ia perlu datang dari 'para hakim' sendiri.

Beliau berpendapat, ia lebih merupakan satu masalah budaya dan personaliti, yang mengakibatkan badan kehakiman mendapat nama buruk.

"Saya harap budaya ini dapat dirungkai jika personaliti-personaliti dalam badan kehakiman sekarang memahami bahawa perubahan amat diperlukan dan cuba berbalik (ke era sebelumnya).

Ketika diminta mengulas mengenai pendedahan klip video yang didakwa mengatur pelantikan hakim, Shahrir berkat, ia mesti disiasat.

Klip video selama lapan itu, yang dikatakan dirakam pada tahun 2002, menunjukkan seorang peguam kanan, Datuk VK Lingam sedang berbual melalui telefon, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim - yang ketika itu merupakan Hakim Besar Malaya - antara lain, mengenai kenaikan pangkat hakim. Berita asal