Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor menafikan terbabit mengatur pelantikan hakim, sepertima yang didakwa dalam klip video yang didedahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu.

Klip video yang dikatakan dirakam pada tahun 2002, menunjukkan seorang peguam kanan Datuk VK Lingam berbual melalui telefon, didakwa dengan Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, yang dikatakan untuk mengatur pelantikan hakim-hakim.

Turut dikaitkan dalam perbualan tersebut ialah jutawan Tan Sri Vincent Tan dan Tengku Adnan.

Berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Lingam, Tan dan Tengku Adnan memainkan peranan penting dalam pelantikan hakim-hakim serta penganugerahan darjah 'Tan Sri' kepada Ahmad Fairuz.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan tersebut, Tengku Adnan berkata, walaupun menjadi Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri ketika itu, , beliau tidak mengatur pelantikan hakim di negara ini.

"Saya Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri yang jaga undang-undang ketika itu, tetapi tidak boleh mengatur pelantikan hakim.

"Dia cakap, suka hati dialah. Dia bercakap...saya tidak mahu komen. Boleh tanya dia (Anwar)," katanya ketika ditemui wartawan di ibu negara hari ini.

Pada tahun 2002, Ahmad Fairuz merupakan Hakim Besar Malaya, yang menjaga semua hakim Mahkamah Tinggi di Semenanjung Malaysia, serta menjadi pemangku Presiden Mahkamah Rayuan (PCA).

Petang tadi, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kerajaan telah menubuhkan sebuah panel bebas untuk menyiasat ketulenan klip video tersebut.

Ia diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohd Noor. Dua lagi anggotanya ialah Pengerusi Majlis Khidmat Negara, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar.

Klik untuk menyaksi klip video