Lebih 2,000 sertai perarakan serah memorandum
Kira-kira 2,000 orang, sebahagian besarnya peguam, menyertai perarakan dari Istana Keadilan ke Jabatan Perdana Menteri sejauh 3.5km bagi menyerahkan memorandum supaya menyelamatkan badan kehakiman.
Kira-kira 2,000 orang, sebahagian besarnya peguam, menyertai perarakan dari Istana Keadilan ke Jabatan Perdana Menteri sejauh 3.5km bagi menyerahkan memorandum supaya menyelamatkan badan kehakiman.
Perarakan itu baru bermula kira-kira jam 12 tengahari. Menurut saksi, Ketua Polis Putrajaya, Supt Abdul Razak Abdul Majid telah memberitahu penganjurnya - Majlis Peguam - bahawa perarakan itu tidak boleh diadakan atas sebab-sebab keselamatan.
Naib Pengerusi Majlis Peguam, Ragunath Kesavan mengesahkan perkara itu kepada malaysiakini. Bagaimanapun, katanya, mereka akan meneruskan juga perarakan tersebut.
Sebelum memulakan perarakan para kira-kira jam 12 tengahari, mereka mendengar ucapan ringkas daripada Pengerusi Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan.
"Kita berarak secara aman dan dengan bermaruah," kata Ambiga, sambil menyatakan rasa bangganya dengan jumlah mereka yang hadir untuk menyertai perarakan tersebut.
Menurutnya, ia adalah "perarakan untuk keadilan" kerana "kita berhak mendapatkan badan kehakiman kelas pertama"
Serah memorandum
"Bila para peguam berarak, itu bermakna adalah yang tidak kena. Kita mahukan perubahan dalam badan kehakiman," katanya.
Ambiga juga berkata, majlis tersebut mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk menubuhkan sebuah panel bebas untuk menyiasat pita Lingam.
"Ini menunjukkan bahawa kerajaan mengakui wujudnya masalah. Bagaimanapun, kita masih mahu suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan," tambahnya.
Ambiga berkata, ia hanya merupakan langkah pertama kerana panel itu tidak boleh memaksa saksi memberi keterangan atau mendapatkan dokumen.
Beliau juga menyifatkan kehadiran ramai anggota polis dan sebuah helikopter polis sebagai "satu tindakan intimidasi".
Semasa perarakan tersebut mereka melaungkan "Kami mahu keadilan" serta membawa kain tentang bertulis "Judiciary has gone to the dogs" dan "Judiciary has gone to the drain".
Perarakan itu mengambil masa kira-kira 30 minit untuk sampai ke JPM. Selepas itu, Ambiga mengetuai delegasi empat orang untuk masuk menyerahkan memorandum mereka.
Manakala yang menunggu di luar mencari berteduh daripada hujan lebat yang turun kira-kira jam 12.45 tengahari.
Memorandum itu diserahkan oleh Ambiga kepada setiausaha politik Perdana Menteri Datuk Wan Farid Wan Salleh.
Majlis itu juga menyerahkan satu lagi memorandum kepada Wan Farid, menggesa agar sebuah suruhanjaya kehakiman bebas ditubuhkan bagi melantik para hakim.
Ini merupakan perarakan ketiga pernah diadakan oleh majlis tersebut. Perarakan pertama diadakan pada 1978 berkaitan Akta Pertubuhan manakala yang kedua pada 1998 untuk memberi sokongan kepada peguam Zainur Zakaria yang menghadapi tuduhan menghina mahkamah.
Peserta perarakan tersebut, sebahagian besarnya peguam, telah berkumpul di Istana Keadilan sejak pagi tadi. Perarakan itu pada mulanya dijadual bermula jam 11 pagi.
Sebelum ini, polis melarang tujuh buah bas yang membawa orang ramai dan para peguam yang dalam perjalanan ke Istana Keadilan, daripada memasuki Putrajaya.
Ketika dihubungi, Supt Abdul Razak berkata, beliau sedang sibuk dan tidak dapat memberi sebarang komen.
Sementara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Majlis Peguam Malaysia yang meneruskan perarakan menuntut keadilan untuk mendesak penubuhan sebuah suruhanjaya diraja bagi menyiasat klip video tersebut.
"Hanya sebuah suruhanjaya diraja yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 dapat memulihkan keyakinan orang ramai terhadap sistem kehakiman negara," katanya dalam satu kenyataan petang ini.
"Video yang kami dedahkan minggu lepas sepatutnya menjangkau keprihatinan parti politik tetapi juga semua rakyat Malaysia yang pedulikan masa hadapan negara," tambahnya.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.