Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Thomas: Anwar tak pernah bangkitkan kelemahan kes TPM
Diterbitkan:  Dec 11, 2024 4:14 PM
Dikemaskini: 8:17 AM

Anwar Ibrahim tidak pernah memberi amaran berhubung kes yang didakwa 'lemah' ke atas Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bercakap dalam episod pertama audio siar baru terbitan Malaysiakini dan KiniTV, Straight Talk, bekas peguam negara Tommy Thomas berkata dia ada bertemu Anwar beberapa kali semasa PH menjadi kerajaan selepas PRU ke-14.

Namun, kata Thomas, kes mahkamah membabitkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak pernah menjadi topik perbincangannya dengan Anwar.

"Kami bertemu beberapa kali. Saya terkejut jika begitu pandangannya, (dan) dia tak pernah datang kepada saya dan bagitahu, 'Tommy, saya dah bercakap dengan orang ramai dan mungkin kes anda ke atas Zahid tak kuat'," katanya.

Thomas juga berkata, tiada sesiapa menghubunginya - diandaikan selepas Anwar menjadi perdana menteri - untuk mendapatkan pandangannya mengenai kes melibatkan Ahmad Zahid.

Justeru, kata Thomas, dia terkejut apabila Anwar menyifatkan pertuduhan terhadap timbalan perdana menteri terbabit boleh diragui.

“Jadi, komen pertama saya (mengenai pandanngan terbaru Anwar) ialah dulu dia anggota (kerajaan), itu pasukan pentadbiran dia.

"Dan sekarang selepas empat tahun, (Anwar) cakap begitu, maka saya agak terkejut," kata Thomas.

Tak boleh pilih kes

Thomas mengulas kenyataan Anwar semasa sesi dialog Sidang Kemuncak Asia Ke-10 Institut Milken di Singapura pada Sept tahun lalu.

Ketika itu perdana menteri mendakwa pertuduhan ke atas Ahmad Zahid boleh dipersoalkan dan tidak dijalankan secara profesional.

Namun Anwar sekali lagi menegaskan tindakan menarik balik semua 47 pertuduhan ke atas Ahmad Zahid adalah keputusan penuh Idrus Harun yang dilantik menggantikan Thomas sebagai peguam negara.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Dia bagaimanapun dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Sept 2023 selepas Jabatan Peguam Negara membuat keputusan untuk menghentikan semua prosiding terhadap ahli politik terbabit.

Ahmad Zahid Hamidi

Sementara itu, mengulas dakwaan dia hanya menyasarkan pemimpin Umno ketika menjadi peguam negara, Tommy berkata ia bukanlah sesuatu yang disengajakan.

“Terdapat banyak kritikan daripada Umno atau sesiapa saja (mengenai) kenapa saya hanya mendakwa orang Umno atau apa sahaja.

"Ia bukan keputusan saya.

“Jabatan Peguam Negara tidak boleh memilih mana-mana kes untuk pendakwaan.

"Kami juga tidak boleh mempersoalkan (misalnya) mengapa kami menerima fail A (untuk didakwa) dan bukannya fail B.

"Tugas kami ialah untuk bertindak ke atas kes yang dikemukakan kepada kami oleh SPRM atau polis,” katanya.

Antara pemimpin Umno yang dihadapkan ke mahkamah semasa Thomas menjadi peguam negara adalah bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun atas kesalahan salah guna kuasa membabitkan RM42 juta dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Dia juga dibicarakan atas tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion daripada 1MDB.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS