Panel bebas: Haidar mesti tarik diri, kata Kit Siang
Bekas Hakim Besar Malaysia, Tan Sri Haidar Mohd Noor mesti menolak atau menarik diri daripada mengetuai panel bebas tiga anggota untuk menyiasat ketulenan skandal klip video peguam Datuk VK Lingam, kata Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.
Bekas Hakim Besar Malaysia, Tan Sri Haidar Mohd Noor mesti menolak atau menarik diri daripada mengetuai panel bebas tiga anggota untuk menyiasat ketulenan skandal klip video peguam Datuk VK Lingam, kata Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, Haidar patut berbuat demikian ekoran peranan kontroversinya dalam krisis kehakiman pada 1988.
Pada masa yang sama, Lim juga menggesa Haidar supaya memperjelaskan peranannya dalam krisis tersebut yang dikenali sebagai 'ibu segala krisis kehakiman'.
Katanya, Haidar mesti memperjelaskan mengenai pemecatan Tun Salleh Abbas sebagai Ketua Hakim Negara - yang menurut Lim tidak mengikut perlembagaan - serta pemecatan Datuk George Seah dan Allahyarham Wan Suleiman Pawan Teh sebagai hakim Mahkamah Agung, sebelum mengambil memainkan peranan dalam usaha memulihkan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap badan kehakiman.
Haidar merupakan ketua pendaftar Mahkamah Agung sewaktu krisis kehakiman pada tahun 1988. Beliau kini menjadi Pengerusi Bank Bumiputra-Commerce.
Hantar isyarat
Lim juga menggesa dua lagi anggota panel bebas tersebut - bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shanker dan aktivis sosial terkemuka, Tan Sri Lee Lam Thye - supaya turut menolak atau menarik diri.
Menurut beliau, tindakan tersebut akan menghantar "isyarat yang jelas bagi pihak semua rakyat Malaysia dan generasi akan datang".
"Masanya telah tiba, bukan sahaja untuk menjalankan siasatan bebas terhadap klip video Lingam, tetapi juga peluang ini tidak harus dilepaskan untuk membetulkan kesilapan sepanjang tempoh 19 tahun lalu, yang menyaksikan Malaysia berdepan dengan krisis demi krisis kehakiman," tambahnya.
Lim berkata, sebuah suruhanjaya diraja mesti ditubuhkan untuk menjalankan siasatan penuh dan komprehensif terhadap penghakisan kebebasan, kesaksamaan dan integriti badan kehakiman sejak 1988.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan panel bebas tersebut untuk menyiasat ketulenan klip video yang menunjukkan peguam Datuk VK Lingam berbual dalam telefon mengenai pelantikan hakim-hakim, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

