Shahrir: Rekod pembelian kapal peronda 'dimusnahkan'
Rekod-rekod tertentu berkaitan dengan urusniaga pembelian enam kapal peronda persisiran pantai yang bernilai RM6.75 bilion telah dimusnahkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC), Datuk Shahrir Abdul Samad.
Rekod-rekod tertentu berkaitan dengan urusniaga pembelian enam kapal peronda persisiran pantai yang bernilai RM6.75 bilion telah dimusnahkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC), Datuk Shahrir Abdul Samad.
Shahrir berkata, PAC yang memulakan siasatan terhadap urusniaga kontroversi itu sejak tahun 2003, tidak dapat memperolehi laporan syarikat yang secukupnya mengenai kapal-kapal peronda tersebut.
"Saya pasti rekod-rekod tersebut telah dimusnahkan," katanya kepada malaysiakini ketika ditemubual di pejabatnya di Sri Hartamas, Kuala Lumpur, minggu lalu.
Beliau mendakwa, rekod-rekod yang dimusnahkan itu membabitkan dua buah kapal peronda yang bermasalah, yang mula-mula diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tahun lalu, iaitu dua tahun terlewat.
Baki kapal-kapal peronda tersebut masih dalam pembinaan dan sejak itu kosnya telah bertambah sekurang-kurangnya RM1.4 bilion. Perkara itu telah dibangkitkan dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara (AG) 2006.
Ditanya sama ada bukti-bukti yang telah dikumpulkan setakat ini sudah mencukupi bagi pihak berkuasa membawa kes itu ke mahkamah, Shahrir menjawab: "Kita perlu mencari yang lain (seperti) rekod-rekod kerajaan."
Pendedahan Shahrir itu ekoran desakan pihak pembangkang - yang menyifatkannya sebagai skandal penyelewengan terbesar - supaya ianya didibatalkan.
Laporan AG itu yang dikeluarkan awal bulan ini, telah menimbulkan banyak persoalan berhubung pembelian tersebut, antaranya, 'tiada justifikasi' bagi pihak kerajaan untuk meluluskan kos tambahan RM1.4 bilion dan tidak mengenakan denda RM214 juta kerana lewat penghantaran.
Kontrak mewah itu, yang pada awalnya membabitkan kos RM5.35 bilion, telah diberikan kepada PSC-Naval Dockyard Sdn Bhd - sebuah anak syarikat PSC Industries Bhd milik Tan Sri Amin Shah Omar Shah pada 1998.
Syarikat tersebut telah diberi nama baru - Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd - pada bulan Ogos tahun lalu.
Isu ECM Libra
Shahrir juga ditanya mengenai siasatan PAC terhadap isu penggabungan ECM Libra dengan Avenue Capital Resources Bhd.
"Beliau (Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop) datang (ke mesyuarat PAC). Beliau hadir untuk menjawab soalan kami, tetapi malangnya tidak ada soalan yang ditanya (kepadanya)," kata beliau.
Jawatankuasa Kira-kira Awam itu yang ditubuhkan untuk memastikan dana kerajaan dibelanjakan dengan baik, turut dianggotai ahli-ahli Parlimen pembangkang.
Katanya, beliau telah menyediakan minit mesyuarat sebagai panduan kepada anggota jawatankuasa tersebut untuk bertanya soalan, tetapi tiada seorangpun berbuat demikian .
Penggabungan tersebut telah mendapat perhatian selepas Khairy Jamaluddin - Naib Ketua Pemuda Umno yang juga menantu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi - mengambil pinjaman pada 2005 untuk membeli tiga peratus pegangan bernilai RM9.2 juta dalam ECM Libra, sebuah kumpulan penasihat pelaburan.
Selepas itu, kerajaan meluluskan penggabungan antara ECM Libra dengan syarikat kewangan milik kerajaan, Avenue Capital - menghasilkan entiti baru yang dikenali sebagai ECM Libra Avenue.
Ekoran isu tersebut, Khairy telah menjual semua sahamnya pada bulan Ogos tahun lalu. PAC mendapati penggabungan tersebut dilakukan mengikut prosedur, tetapi ia belum membuat keputusan muktamad sama ada wujud sebarang konflik kepentingan dalam urusan tersebut.
"Pandangan peribadi saya ialah tidak berlaku salahguna kuasa tetapi terdapat kes konflik kepentingan dan (boleh) dipersoalkan," kata Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru.
Beliau juga berkata, isu tersebut menarik perhatian ramai kerana ia membabitkan Khairy. Berita asal

