Polis menahan seorang lelaki berusia 41 tahun yang disyaki terlibat dalam pembunuhan dan penderaan seksual terhadap Nurin Jazlin Jazimin, 8, di Lebuh Ampang di Kuala Lumpur hari ini.

Suspek itu, yang bekerja sebagai "orang tengah" di sebuah agensi pelancongan di bandaraya telah diajak oleh seorang rakannya ke sebuah kedai kopi di mana sepasukan polis menunggu untuk menahan lelaki itu.

Bernama memetik sumber polis sebagai berkata serbuan itu dibuat selepas rakan suspek memberitahu polis bahawa suspek mungkin mempunyai kaitan dengan pembunuhan kejam Nurin.

Rakan suspek itu juga memberitahu polis bahawa lelaki yang disyaki itu mungkin terlibat dengan kes pencabulan dua kanak-kanak yang dilaporkan di Kampung Baru dengan menggunakan terung.

Bernama difahamkan sebelum penahanan itu, rakan suspek telah meyakinkan suspek bahawa beliau mempunyai satu rancangan perniagaan yang perlu dibincangkan di kedai kopi itu.

Kira-kira jam 2 petang, suspek tiba di kedai kopi itu dengan rakannya telah sedia menunggu.

Hubungi polis

Menurut rakan suspek, mereka pada mulanya membincangkan tentang usahasama perniagaan sebelum menukar topik kepada perkara-perkara peribadi.

"Pada masa ini, saya menghantar SMS kepada sepasukan anggota polis berpakaian biasa yang menunggu di luar kedai kopi itu untuk bertindak.

"Lelaki berkenaan kemudiannya meminta saya menemui rakan perniagaannya dan mula berjalan ke arah sebuah bangunan yang terletak di seberang jalan.

"Pada saat inilah, saya menghubungi polis," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata masih terlalu awal untuk polis mengulas mengenai penahanan suspek.

Difahamkan suspek itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.

Deraan seksual

Pada 20 Ogos, Nurin Jazlin dilaporkan hilang oleh bapanya Jazimin Abdul Jalil, selepas keluar seorang diri untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju, di Kuala Lumpur.

Di sebalik liputan meluas media dan usaha besar-besaran mencarinya, Nurin Jazlin tidak dapat dikesan.

Pada 17 September, mayat seorang kanak-kanak perempuan ditemui dalam sebuah beg sukan yang diletakkan di hadapan tangga sebuah rumah kedai di PJS 1/48, Petaling Jaya. Hasil ujian DNA mendapati mayat itu adalah Nurin Jazlin dan bedah siasat mendapati mangsa juga didera secara seksual.

Suspek berkenaan, yang memakai baju kemeja lengan panjang berwarna biru dan berseluar hitam, membawa sebuah beg untuk bertemu dengan rakannya di kedai kopi itu.

Difahamkan lelaki itu yang berasal dari Segamat, telah bertunang dengan seorang penyambut tetamu di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Musa nafi

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang ditemui pemberita selepas satu majlis berbuka puasa, bagaimanapun menafikan laporan Bernama itu dan menyifatkannya sebagai khabar angin.

Katanya, belum ada sebarang tangkapan dibuat berkaitan kes Nurin setakat ini dan siasatan masih diteruskan.

Musa juga berkata pihaknya akan memanggil wartawan Bernama terbabit untuk mengetahui sumber maklumat yang diperolehinya.