Kementerian Keselamatan Dalam Negeri telah 'meminta' semua media perdana supaya jangan memperbesarkan liputan mengenai perarakan para peguam semalam, demikian malaysiakini difahamkan hari ini.

Menurut sumber-sumber media, arahan tersebut dibuat melalui panggilan telefon kepada semua editor akhbar harian utama.

Sumber-sumber itu memberitahu malaysiakini bahawa mereka diminta jangan menyiarkan liputan perarakan tersebut di muka depan atau di muka belakang.

Mereka bagaimanapun diberitahu boleh menyiarkan berita tersebut dari muka empat dan seterusnya.

Ini adalah kali pertama arahan seumpama itu dikeluarkan kepada akhbar-akhbar tempatan. Sebelum ini, arahan biasanya meminta mereka supaya jangan menyiarkan langsung berita mengenai isu-isu tertentu.

Sebelum ini, pihak akhbar diminta jangan menyiarkan sebarang perbahasan mengenai isu negara Islam, dan mereka hanya boleh menyiarkan komen perdana menteri dan timbalannya mengenai isu tersebut.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan arahan terbaru ini dari pihak kementerian berkenaan kerana pegawainya enggan bercakap. Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komennya.

Bagaimanapun, seorang editor akhbar vernakular, mengesahkan arahan tersebut.

Ekoran arahan tersebut, akhbar-akhbar harian tempatan menyiarkan berita mengenai perarakan itu di muka dalam sahaja.

Kontroversi klip video

Semalam, kira-kira 2,000 orang, sebahagian besarnya peguam, mengadakan perarakan anjuran Majlis Peguam, sejauh 3.5km dari Istana Keadilan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM), kerana tidak berpuashati dengan apa yang berlaku dalam badan kehakiman sejak tahun-tahun kebelakangan ini.

Terbaru ialah pendedahan klip video yang dirakamkan pada tahun 2002 yang menunjukkan peguam kanan Datuk VK Lingam sedang mengatur pelantikan para hakim.

Walaupun, orang yang bercakap dengan Lingam melalui telefon itu tidak ada dalam klip tersebut, tetapi kontek perbualan tersebut membayangkan dia bercakap dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Ahmad Fairuz merupakan Hakim Besar Malaya ketika klip video itu dirakamkan.

Selepas perarakan tersebut, Majlis Peguam menyerahkan dua memorandum kepada JPM - satu menggesa penubuhan suruhanjaya diraja untuk menyiasat apa yang berlaku dalam badan kehakiman manakala yang satu lagi menggesa penubuhan suruhanjaya kehakiman untuk pelantikan para hakim.

Lingam dan Ahmad Fairuz tidak membuat komen secara terbuka mengenai video tersebut, tetapi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazri Aziz sebelum ini berkata, orang yang bercakap dengan Lingam bukan Ketua Hakim Negara.

Siasatan BPR

Sementara itu, akhbar New Straits Times hari ini melaporkan bahawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) sedang mencari Lingam untuk membantu siasatan bagi menentukan ketulenan klip video tersebut.

Lingam berada di luar negara sejak bulan lalu dan BPR telah meninggalkan pesan di pejabat dan rumahnya supaya menghubungi badan tersebut apabila dia pulang ke tanahair.

Dia dikatakan berada bersama di Amerika Syarikat dan Papua New Guinea bersama seorang ahli peniagaan untuk urusan perniagaan.

Akhbar itu melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail telah mengarahkan BPR merakamkan kenyataan peguam tersebut untuk mengesahkan ketulenan klip video tersebut.

"Kita mahu tahu apa yang hendak dikatakannya mengenai klip video tersebut sebelum mengambil tindakan selanjutnya," kata Abdul Gani seperti yang dipetik oleh akhbar tersebut. Berita asal