Pelantikan hakim: Ikut sistem UK, kata PKR
Sistem pelantikan hakim perlu diubah seperti yang dibuat di United Kingdom bagi mengelak pengaruh korporat dan campurtangan politik dalam melantik hakim-hakim di negara ini, kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivarasa Rasiah.
Sistem pelantikan hakim perlu diubah seperti yang dibuat di United Kingdom bagi mengelak pengaruh korporat dan campurtangan politik dalam melantik hakim-hakim di negara ini, kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivarasa Rasiah.
Beliau berkata, di United Kingdom, badan peguam atau majlis peguam memilih para hakim sebelum dicadangkan kepada kerajaan untuk dilantik.
Katanya, ini menjadikan proses pemilihan hakim bebas dari pengaruh luar seperti tokoh politik korporat dan politik.
"Sistem sedia ada jelas bermasalah kerana kuasa yang terlalu besar yang dimiliki Perdana Menteri membolehkan beliau melantik hakim dengan hanya berunding dengan Ketua Hakim dan Majlis Raja-Raja," katanya dalam sidang media mingguan di ibu negara hari ini.
Hadir sama ialah Setiausaha Agung PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim, Ketua Penerangan Tian Chua dan Ahli Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) S Manikavasagam.
Sivarasa yang juga seorang peguam juga mengulas mengenai penubuhan panel bebas untuk menyiasat klip video perbualan telefon peguam kanan Datuk VK Lingam, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim mengenai pelantikan hakim, seperti yang didedahkan oleh Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Kerajaan melantik bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor mengetuai penal bebas tersebut. Dua lagi anggotanya ialah Pengerusi Majlis Khidmat Negara, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar. Kedua-duanya adalah bekas pesuruhjaya Suhakam.
'Penal tiada kuasa'
Sivarasa berkata, beliau mengesan wujud beberapa kelemahan dalam panel penyiasat tersebut, antaranya mereka tidak mempunyai kuasa untuk memanggil saksi memberi keterangan.
"Saksi juga perlu mempunyai kekebalan untuk membolehkan mereka bebas memberi keterangan dalam siasatan tersebut dan dengan ini mereka boleh memberi keterangan tanpa takut," katanya.
Sementara itu, Khalid berkata, pelantikan tiga ahli panel itu masih belum cukup untuk membetulkan kepincangan yang berlaku dalam sistem kehakiman negara sekarang.
Katanya, pelantikan Haidar sebagai salah seorang panel penyiasat menimbulkan konflik kepentingan peribadi kerana beliau juga merupakan Ahli Pemegang Amanah Yayasan Kepimpinan Perdana yang ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Haidar juga seorang Ahli Lembaga Pengarah CIMB Bank yang dimiliki oleh Datuk Nazir Razak, adik Timbalan Perdana Menteri walaupun konflik kepentingan tidak banyak," katanya.
Sehubungan itu, kata Khalid, pemilihan Haidar perlu diganti bagi menarik keyakinan orang ramai terhadap panel penyiasat tersebut.
Haidar merupakan salah seorang panel Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan Anwar terhadap sabitan tuduhan rasuah.

