Datuk Seri Najib Tun Razak berkata semua anggota panel bebas untuk menyiasat ketulenan klip video peguam kanan Datuk VK Lingam adalah terdiri daripada mereka yang amat berwibawa dan tidak harus diragui.

"Tidak ada soal kem lain (pelantikan ahli pembangkang). Mereka (ahli panel bebas) ini penuh integriti dan tidak boleh dipersoalkan, (dan), jangan politikkan soal pelantikan," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Najib mengumumkan penubuhan penal bebas itu Selasa lalu, yang ketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohd Noor. Dua lagi anggota panel tersebut ialah aktivis sosial Tan Sri Lee lam Thye dan bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar.

Najib berkata kerajaan yakin pelantikan panel bebas itu juga mampu memastikan sistem kehakiman di negara ini berintegriti, demikian menurut laporan Bernama.

"Setakat ini keputusan kerajaan setakat penubuhan panel bebas, tiada cadangan untuk menubuhkan suruhanjaya pelantikan kehakiman," katanya.

Ditanya mengenai jangka masa yang diperlukan bagi panel itu menyiapkan laporannya, Najib berkata satu pertemuan akan diadakan dengan panel bebas itu untuk tentukan jangka masa tersebut.

Ibu segala krisis

"Pada masa sekarang kita hanya tetapkan secepat mungkin dan hanya jawatankuasa yang boleh umumkan tempoh masa untuk siapkan laporan mereka," katanya.

Semalam, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang menggesa Haidar supaya menarik diri ekoran peranan kontroversinya dalam krisis kehakiman pada 1988.

Pada masa yang sama, Lim juga menggesa Haidar supaya memperjelaskan peranannya dalam krisis tersebut yang dikenali sebagai 'ibu segala krisis kehakiman'.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu juga mahu Haidar memperjelaskan mengenai pemecatan Tun Salleh Abbas sebagai Ketua Hakim Negara - yang menurut Lim tidak mengikut perlembagaan - serta pemecatan Datuk George Seah dan Allahyarham Wan Suleiman Pawan Teh sebagai hakim Mahkamah Agung, sebelum mengambil memainkan peranan dalam usaha memulihkan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap badan kehakiman.

Haidar merupakan ketua pendaftar Mahkamah Agung sewaktu krisis kehakiman pada tahun 1988. Beliau kini menjadi Pengerusi Bank Bumiputra-Commerce.