"Tahun depan saya akan berusia 59 tahun. Tiada masalahnya berusia 59, tetapi masalahnya, empat tahun kemudian, umur saya sudah mencecah 63 tahun. Oleh itu, saya lebih suka orang lebih muda yang bertanding," kata Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Shahrir pertamakali bertanding dalam pilihanraya tiga dekad yang lalu dan menang dengan majoriti besar dengan 23,481 undi atas tiket Barisan Nasional. Lawannya adalah calon DAP.

Selepas 30 tahun bergelumang dalam politik, Shahrir bersedia untuk bersara. Pilihanraya umum akan datang dijangka diadakan awal tahun depan.

Sebab utamanya adalah faktor umur, kata pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) itu yang akan menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke-58 November ini.

Namun, bagi setengah pihak, usia 59 tahun bukan tua sangat - ianya juga merupakan purata usia menteri-menteri kabinet sekarang.

Tetapi bagi Shahrir, beliau telah melalui karier politik yang panjang dan penuh warna-warni dengan memegang rekod sebagai setiausaha politik termuda, calon BN termuda dan menteri termuda - sewaktu kemuncak karier politiknya.

'Lambang kunci'

Beliau menjadi setiausaha politik kepada dua Perdana Menteri - Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn - serta melalui pengalaman turun-naik dalam perjalanan politiknya.

Sewaktu kemuncak krisis kepimpinan Umno pada 1988 - yang membabitkan Team A (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Team B (Tengku Razaleigh Hamzah) - beliau meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen Johor Bahru, dan bertanding semula sebagai calon Bebas dalam pilihanraya kecil yang diadakan. Shahrir yang dikaitkan dengan Team B, menang dengan majoriti besar. Pada tahun berikutnya beliau kembali semula ke pangkuan Umno.

Beliau juga mengesahkan telah ditawarkan jawatan menteri dalam rombakan kabinet pada 2006 tetapi menolaknya kerana berpendirian bahawa ahli Parlimen biasa juga boleh memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya.

Sekiranya Shahrir bersara dari politik, beliau akan menumpukkan kepada syarikatnya yang membekal peralatan golf. Syarikatnya yang berpejabat di Kuala Lumpur itu kini sudah berusia 10 tahun.

Syarikat tersebut dinamakan 'Saske' - yang menurut Shahrir - merupakan gabungan huruf pangkal namanya (SAS) dan perkataan 'key' (kunci) - simbol yang digunakannya ketika bertanding calon bebas dahulu.

Secara berseloroh, Shahrir berkata, beliau menggugurkan huruf 'y' supaya ianya tidak "terlalu ketara". Berita asal