Gerakan Pro-Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menggesa Suruhanjaya Pilihanraya Kampus UIAM supaya membatalkan proses penapisan calon yang akan bertanding dalam pilihanraya kampus (PRK) pada 2 Oktober depan.

Dalam satu kenyataan hari ini, gerakan itu menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak rasional dan tidak demokratik.

Langkah itu juga, tegas gerakan tersebut, telah menafikan hak-hak mahasiswa untuk bertanding secara terbuka dan matang.

Menurutnya, pihak SPR UIAM telah memperkenalkan proses penapisan calon sebelum bertanding dalam PRK UIAM sejak tahun 2005.

Menurut kenyataan itu lagi, antara proses penapisan calon, yang didakwanya tidak demokratik itu ialah:

Ujian pengucapan awam.

Sesi temuduga calon.

Sesi bersama timbalan rektor, rektor dan presiden UIAM.

"Pihak SPR UIAM telah meletakkan syarat bahawa sekiranya bakal-bakal calon gagal atau tidak menghadiri ketiga-tiga proses tersebut, maka mereka tidak layak untuk bertanding dalam PRK UIAM," tambah kenyataan itu lagi.

Gerakan itu juga tidak puashati dengan tempoh masa untuk mengambil borang pencalonan yang sepatutnya bermula pada 24 September (2 petang hingga 7 malam) sehingga 25 September (8 pagi hingga 2 petang).

Peruntukan kerusi

"Tetapi, pihak SPR UIAM telah menutup pejabatnya lebih awal, iaitu pada jam 4 petang pada 24 September," katanya.

Mengenai peruntukan kerusi pula, kenyataan itu berkata, jumlah keseluruhan pelajar di Kulliyyah Ilmu Wahy & Sains Kemanusiaan & Institut Pendidikan ialah kira-kira 4,000 orang, tetapi hanya dua kerusi sahaja yang diperuntukkan.

Sedangkan, katanya, jumlah kerusi yang sama diperuntukkan kepada Kulliyyah Kejururawatan di Kuantan yang mempunyai pelajar tidak sampai 1,000 orang.

Oleh itu, gerakan tersebut menggesa pihak SPR UIAM supaya mengasingkan Kulliyyah Ilmu Wahya, Sains Kemanusiaan dan Institut Pendidikan "kerana ia jelas mengabaikan hak bertanding bagi mahasiswa Pendidikan dan mengecilkan kuantiti exco MPP UIAM".

"Pihak SPR UIAM mestilah menangguhkan atau membatalkan proses-proses yang ditetapkan kerana dilaksanakan secara tidak profesional," tambah kenyataan itu lagi.