Kabinet bersetuju menerima cadangan syarikat robotik, Ocean Infinity untuk meneruskan pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata syarikat itu telah mencadangkan lokasi pencarian baru yang dianggarkan seluas 15,000 km2 di Selatan Lautan Hindi.

"Lokasi kawasan pencarian baru yang dicadangkan oleh Ocean Infinity adalah berasaskan kepada maklumat serta analisis data terkini yang telah dibuat oleh pakar-pakar dan penyelidik.

"Cadangan operasi pencarian oleh Ocean Infinity ini ialah cadangan yang kukuh ataupun kredibel dan wajar diteliti oleh kerajaan Malaysia selaku negara pendaftaran pesawat MH370," kata Loke pada sidang media di kementeriannya.

Jelas Loke, Kementerian Pengangkutan sedang merunding terma dan syarat perjanjian dengan syarikat itu yang dijangka akan dimuktamadkan pada awal tahun 2025.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang pada 8 Mac 2014, ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Bulan lalu, Loke memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan mempertimbangkan operasi pencarian lanjut bagi mencari pesawat itu sekiranya terdapat maklumat atau petunjuk baru.

Ketika sidang media hari ini, Loke berkata syarikat itu meminta bayaran yang sama iaitu sebanyak AS$70 juta seperti yang dilakukan pada 2018.

Ini berdasarkan prinsip 'no find, no fee', yang bermakna kerajaan tidak akan menanggung sebarang kos sekiranya serpihan pesawat tidak ditemui, katanya.

“Dan di bawah kontrak baru, jika mereka berkata mereka telah menemui serpihan itu, ia perlu disahkan oleh pasukan kita,” tambahnya.

Dia juga mendedahkan bahawa operasi pencarian akan dijalankan bermula dari Januari hingga April 2025.

Pengumuman itu dibuat hari ini memandangkan kabinet telah membuat keputusan pada Jumaat lepas (13 Dis), katanya lagi.