Janji Najib tidak jadi kenyataan
Mangsa tsunami yang kini mendiami rumah panjang sementara di Tanjung Bungah, Pulau Pinang kecewa lagi apabila janji Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini bahawa mereka akan dapat berpindah ke rumah baru selewat-lewatnya akhir bulan ini tidak menjadi kenyataan.
Mangsa tsunami yang kini mendiami rumah panjang sementara di Tanjung Bungah, Pulau Pinang kecewa lagi apabila janji Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini bahawa mereka akan dapat berpindah ke rumah baru selewat-lewatnya akhir bulan ini tidak menjadi kenyataan.
Malah, Najib juga berjanji bahawa beliau sendiri yang akan menyerahkan kunci rumah tersebut kepada penduduk terbabit, yang sepatutnya diadakan semalam.
Seorang penduduk, Che Putih Baharom, 50, yang ditemui Bernama di rumahnya hari ini, berkata semua penduduk terlibat telah mengemas barang masing-masing dan bersedia untuk berpindah.
"Wakil syarikat perumahan ada datang semalam, mereka kata tak tentu lagi bila boleh pindah, mungkin 29 September atau 1 Oktober ini.
"Kakak takut tak jadi pindah lagi. Kalau tangguh lagi, kita terpaksa punggah semula barang yang telah dikemas," katanya.
Menurut laporan Bernama, sejumlah 100 unit rumah yang dibina untuk menempatkan mereka telah siap pada Februari lalu tetapi sehingga hari ini mereka belum dipindahkan.
'Ada urusan rasmi lain'
Kelewatan pemindahan penduduk itu berlaku disebabkan kerajaan negeri tidak bersetuju dengan harga rumah yang ditetapkan oleh kerajaan pusat kerana dianggap terlalu tinggi untuk penduduk berkenaan.
Bagaimanapun, pada 15 September lalu, Najib mengumumkan kerajaan menetapkan harga rumah itu pada harga RM42,000 seunit seperti yang dipohon kerajaan negeri.
Beliau juga memberi jaminan penduduk terlibat dapat berpindah ke rumah baru mereka selewat-lewatnya akhir bulan ini dan beliau sendiri akan menyerahkan kunci rumah itu.
Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, yang ditemui hari ini, berkata beliau telah mengarahkan Syarikat Perumahan Negara Berhad dan Pejabat Daerah Timur Laut supaya segera menyelesaikan semua urusan berkaitan penyerahan rumah itu.
Ditanya mengenai majlis penyerahan kunci rumah yang diwar-warkan diadakan semalam dan dijangka dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Koh berkata: "Datuk Seri Najib tidak sempat, tidak dapat datang kerana ada urusan rasmi lain."
Bagaimanapun, Koh tidak menyatakan tarikh kunci rumah itu akan diserahkan kepada penduduk terlibat.

